Sunday, April 19, 2009

Kasut Tutankhamun

(Tersiar dalam MINGGUAN MALAYSIA 19 April 2009)

Sebaik membayar tiket, kami bergegas ke dalam dewan mumia diraja. Terletak disebelah kanan atas Muzium Kaherah. Terlentang dua belas jasad mumia dari keluarga Firaun. Usia pengawetan yang mencecah ribuan tahun.
Muhaimin kelihatan teragak-agak. Gementar buat seorang anak kecil yang baru berusia 10 tahun untuk berdepan sendiri dengan mumia. Bukan lagi dalam adegan sebuah filem, siri kartun atau pembacaan yang menguasai imaginasi.
Mumia dalam balutan asal terlentang di depan mata. Menakutkan buat yang lemah semangat. Masih lengkap semua anggota badan yang zahir.
Manakala dua abangnya, Saifullah, 16 tahun dan Faidhi, 15 tahun terus sahaja meluru memerhati rapi mumia dalam cermin. Membaca setiap catatan. Penuh minat.
Muhaimin bergerak ke arah ibunya. Berbisik.
“Mana mumia Tutankhamun?”
Ibu tersenyum. Muhaimin terus teruja dengan kehebatan Raja Tut, yang menjadi Firaun diusia sebaya Muhaimin dan mati dalam usia sebaya Saifullah. Sesuatu yang mungkin menarik minat ketiga mereka. Firaun berusia belasan tahun.
Sejak tiba di Kaherah, Muhaimin suka mendengar cerita Saifullah dan Faidhi tentang kehebatan dan kekayaan Firaun muda itu. Mungkin fikiran Muhaimin tidak henti membayangkan Raja Tut sejak pulang dari melawat dan masuk dalam piramid. Yang kosong tanpa mumia. Menghampakan biar terpaksa menaiki tangga dan lorong sempit untuk ke puncak piramid.
“Mumia Raja Tut tiada di sini. Masih berada di Lembah Raja-Raja di Luxor. Nanti kita pergi ke sana. Di muzium ini hanya ada khazanah peninggalan Raja Tut, kita melawat selepas ini!”
Mumia para keluarga Firaun yang pernah dianggap tuhan itu memaparkan sejarah kuno Mesir. Keagungan dari keangkuhan yang tersisa sebagai peringatan kepada para manusia ribuan tahun kemudian. Manusia moden yang terus datang untuk melawat mumia Firaun dan sisa kegemilangan. Para pelancung terus terpaksa tunduk untuk sekadar masuk ke makam dalam piramid. Seakan tunduk menghormati firaun secara simbolik.
Jutaan pelancung datang ke Mesir kerana firaun. Rezeki anak cucu cicit firaun melimpah dengan peninggalan makam dan sisa-sisa peradaban. Sehingga banyak tempat-tempat sejarah aulia yang dilupakan. Walhal, Mesir bukan sekadar firaun. Mesir juga mempunyai nabi dan sejarah kegemilangan Islam.
Kami beredar ke bahagian pameran harta karun Tutankhamun. Semuanya masih lengkap sewaktu ditemui dalam tahun 1922, tidak berubah seperti mana ditinggalkan ribuan tahun dahulu. Tidak dicuri oleh pencari harta karun atau dibawa keluar dari bumi Mesir.
“Berapa agaknya nilai harta Raja Tut waktu ini?” Tanya Saifullah kepada saya. Sememangnya khazanah dalam muzium Kaherah itu sendiri terlalu tinggi nilai sejarah dan nilai wang ringgit.
“Billion hingga trillion ringgit!” Saya menjawab dalam kekaguman. Kagum dengan peradaban firaun. Kagum walau terkilan kerana Mesir dan rakyatnya pada hari ini jauh ketinggalan dalam serba serbi berbanding nenek moyang mereka. Ada sesuatu yang tidak kena. Seuatu yang boleh dibuat pengajaran.
Datang dan pergi peradaban dan empayar hebat di muka bumi. Hari ini Amerika berkuasa, tetapi dengan kegawatan ekonomi, Amerika mungkin akan jatuh dan diganti dengan kuasa besar baru. Mungkin China, mungkin India. Mungkin juga, Israel yang memperkudakan Amerika. Atau mungkin salah satu negara Islam. Tetapi saya tidak dapat mencari negara mana dalam situasi semasa.
Tentu tidak Mesir. Bangunan-bangunan baru yang tidak sehebat piramid dan kuil-kuil kuno. Kemiskinan yang menjadi sebahagian dari wajah mesir moden. Budaya temberang yang mewarnai kehidupan. Orang-orang Mesir sudah dimakan sumpah Firaun. Mereka tidak akan bangkit lagi. Terutama selagi menjadikan Israel sebagai sahabat dan mengenepikan Palestin.
“Abah, tengok kasut Raja Tut!”
Muhaimin menarik saya. Faidhi sama mengikut. Manakala Saifullah dan ibu masih dalam dewan yang dipenuhi barang-barang kemas kepunyaan Raja Tut. Bersama kilauan emas, perak dan berlian mengerlip.
Saya sama kekaguman melihat kasut bersalut emas bertatah berlian yang pernah dipakai oleh Firaun itu.
“Pada masa orang-orang Mesir sudah memakai kasut dan membina ratusan piramid, sebahagian besar dari Eropah, Amerika dan Asia masih tinggal dalam gua-gua berbogel, masih makan orang!” Saya berkata perlahan. Pada diri sendiri.
Peradaban kuno Mesir memang hebat. Tetapi kufur dan penuh kezaliman. Keadilan mengikut selera firaun. Tiada hak untuk rakyat selain sebagai hamba. Sesuatu yang terus berulang walau dibawah payung demokrasi yang dipenuhi autokrasi seorang diktator, nama lain untuk firaun moden.
Semuanya menjadi pengajaran buat mereka yang mahu berfikir. Malah bumi Mesir juga telah dihadirkan dengan para Nabi serta aulia. Terus subur diairi sungai Nil yang terus mengalir songsang ke utara.
“Kenapa Raja Tut mati dalam usia muda?” Muhaimin tiba-tiba bertanya. Matanya masih pada kasut Tutankhamun dalam cermin di dinding.
“Mungkin dibunuh. Ramai yang mahu menjadi raja dikalangan bapa saudaranya!” Jawab Saifullah yang tiba-tiba juga muncul bersama ibu.
‘Pembunuhan kerana kuasa dan tamak berlaku sejak Habil dan Nabil. Bergaduh sehingga berbunuhan sesama adik beradik kerana harta juga!” Ibu bersuara, biar sedikit lari dari topik perbincangan. Mungkin untuk memberi ingatan kepada ketiga-tiga anak lelaki yang selalu juga bergaduh kerana perkara-perkara kecil.
“Itu salah satu teori yang dikemukakan. Penemuan terbaru mengatakan Raja Tut mati kerana luka oleh gangren, bukan dibunuh!” Sampuk Faidhi yang bercita-cita mahu menjadi seorang doktor. Membetulkan cermin mata untuk meneliti kasut Tutankhamun.
Keduanya banyak mendapatkan pelbagai maklumat melalui enjin carian Google dan Wikipedia.
Kami membiarkan perbincangan mereka yang merangkumi sejarah yang sebenarnya turut diselitkan dalam Quran. Sesuatu yang mengambarkan relevannya Quran sepanjang zaman sebagai mukjizat.
“Walau apapun, apa sahaja teori mengenai kematian Raja Tut tidak penting lagi. Hari ini, Raja Tut menjadi legasi dan dia salah seorang Firaun yang terus dikenali. Sehingga kita masih sempat melihat kasutnya!” Saya cuba mengalih pandangan kepada satu perkara kecil dalam kehebatan khazanah Raja Tut.
Sepasang kasut.
Muhaimin mengangguk, memang dia cukup teruja dengan kasut Tutankhamun. Untuk seorang anak lelaki yang terpengaruh dengan kasut-kasut jenama sukan yang dipakai oleh bintang-bintang bolasepak dunia, selera Muhaimin pada kasut sama seperti Saifullah dan Faidhi. Kilauan kasut-kasut yang mengambarkan status dan kadang-kala nilai harga diri manusia.
Kasut-kasut mereka lebih mahal dari kasut saya sendiri, seorang ayah yang tidak pernah berkasut jenama terkenal. Yang masih sahaja diulit memori tentang zaman anak-anak dahulu tidak berkasut ke sekolah. Kemiskinan yang menyuntik semangat buat pemilik sepasang kaki ayam untuk lebih jauh melangkah dari generasi terdahulu. Duri dan batu-batu jalanan telah mengeraskan semangat untuk perubahan, untuk keluar dari kemiskinan.
“Kasut abah yang paling mahal pernah dibeli sewaktu berusia Tutankhamun, waktu itu berharga RM30 berjenama ‘Power’, sebaik dapat masuk ke tingkatan empat sekolah berasrama penuh!” Saya kembali bernostalgia didepan kasut Tutankhamun yang mungkin sudah bernilai puluhan jutaan ringgit.
Tidak mungkin saya boleh melupakan sepasang kasut hadiah dari aruah ayah. Yang dibeli dengan berhutang. Dibeli kerana aruah tahu saya cukup inginkan kasut itu. Masuk sekolah berasrama tanpa kasut ‘mahal’ tentu memalukan bagi aruah. Saya tidak memaksa aruah dan berpuas hati dengan kasut RM5 yang dibeli. Kasut tanpa jenama dibeli di pasar minggu.
“Kasut itu tidak sempat dipakai, kerana dicuri senior!” Saya menyambung cerita yang berkali diulang pada anak-anak. Kali ini bercerita pada sepsang kasut Tutankhamun. Bercerita penuh emosional.
Kenangan pahit yang menghantui sehingga kini. Terhiris perasaan dengan seorang senior yang sanggup mencuri sepasang kasut seorang anak miskin hanya sebagai satu penderaan di minggu suaikenal. Budaya Ragging yang diturunkan oleh penjajah. Kalau makin teruk mendera, makin hebat sang senior. Memukul dan mengarahkan apa sahaja, kekadang berpanjangan selama setahun.
Kejam sekali kerana sipencuri kasut saya itu anak seorang ahli politik yang kaya raya. Yang masuk sekolah tersebut bukan kerana kecemerlangan SRPnya, tetapi kuasa dan pengaruh yang ada pada ayahnya, seperti yang ceritakan dengan angkuh. Angkuh kerana dia anak seorang bergelar datuk dan saya hanya anak petani yang menyewa bendang dari orang kaya seperti keluarganya. Perbedaan darjat menambahkan dendam saya pada keadaan. Tidak berdendam pada senior tersebut. Tetapi dendam itu bertukar sebagai perangsang untuk belajar lebih kuat dan cemerlang.
Ayahnya bukan Tutankhamun. Senior nakal itu juga bukan Tutankhamun. Bukan keturunan firaun. Kekayaan mereka terlalu kecil berbanding dengan Tutankhamun dan firauan lain. Tetapi kekayaan sedikit itu menjadikan mereka berkelakuan seperti firaun kecil. Kekayaan dari merampas hak orang lain dan mempergunakan kelebihan yang sebenarnya rezeki untuk dikongsi bersama. Bukan untuk menzalimi sesama manusia.
Dia mendera saya kerana terasa berkuasa, biar sekadar senior yang kemudiannya gagal SPM. Yang kini bergelar datuk kerana diwariskan kekayaan. Datuk yang masih berkelakuan firaun dalam perjuangan politik ketuanan sempitnya.
“Memang cantik kasut Tutankhamun!” Suara isteri menerpa dan mengejutkan saya dari ilusi dan imaginasi. Saya cepat-cepat mengesat airmata. Tanpa disedari isteri.
“Kita tidak tahu siapa pereka dan pembuat kasut ini, kreatif sekali, dan tiada pula produk kasut terkini dengan fesyen Tutankhamun!” Jawab saya perlahan. Masih terbayang kasut RM30 yang dicuri senior dan mengubah persepsi saya terhadap nilai kasut selamanya. Mengerling kasut buatan negeri China yang saya pakai. Memang sengaja membeli dan berbaloi memakai kasut murah kerana bimbang kalau hilang di Mesir.
Sebenarnya harga semua kasut saya yang ada dalam empat pasang itu, termasuk kasut kerja tidak lebih dari RM100 sepasang. Harga yang mungkin sekadar untuk sebelah kasut anak-anak dan isteri sahaja.
“Kasut buatan negeri China tanpa jenama yang abah pakai ini mungkin boleh berharga jutaan ringgit, walau tidak boleh menandingi nilai harga kasut Tutankhamun....!” Saya berkata pada isteri dan anak-anak sebaik melangkah keluar dari muzium.
Kelihatan ramai orang-orang Mesir yang sedang menanti untuk masuk percuma sebelum muzium ditutup. Harga tiket masuk muzium memang jauh mahal untuk pelancung berbanding dengan harga tiket untuk rakyat Mesir. Begitupun, masih ramai mahu masuk secara percuma untuk melihat khazanah dan harta karun para Firaun. Warisan Mesir yang membawa masuk bilion ringgit ke dalam kantung Presiden Mubarak. Billion ringgit yang tidak sampai ke majoriti rakyat yang hidup dibawah paras kemiskinan.
“Bagaimana?” Tanya Muhaimin yang nampak keliru. Kasut yang dipakainya juga berharga RM200. Jenama terkenal dan dipakai oleh Ronaldinho
“Kalau abah jadi Muntadher al-Zaidi yang berani melontar kasut kepada Presiden Bush!”
Ya, Muntadher, wartawan stesen TV berpengkalan di Kaherah yang menjadi hero baru orang-orang Arab dan memberi inspirasi kepada majoriti penentang kezaliman Amerika. Membaling kasut pada seorang presiden angkuh dan kurang cerdik yang bertaraf firaun moden di hari-hari terakhir pemerintahan. Presiden yang mempunyai imuniti walau telah membunuh ribuan manusia atas nama peperangan menentang teroris, walhal diri sendiri adalah teroris bertaraf dunia. Presiden yang menjadi proksi zionis sebagai polis, pendakwa dan hakim seluruh planet bumi.
“Kalau balingan itu kena tepat pada kepala Presiden Bush, tentu kasut Muntadher lebih mahal dari kasut Tutankhamun untuk ribuan tahun nanti!”
Muhaimin berkata dengan penuh perasaan. Ternyata ‘lawatan sekali seumur hidup’ ke muzium Kaherah dan piramid menambahkan pengalaman dan pengetahun realistik pada anak-anak yang membesar dalam bercampur nilai antara sirah dan playstation, google, facebook, serta bintang-bintang bolasepak bertaraf jutawan sebagai idola.
Muhaimin tidak berjenaka tetapi kami serentak ketawa.
Ketawa pada diri sendiri dalam kembali menghirup hirok pikok kesesakan trafik, kesesakan manusia bertarung untuk hidup dalam udara tercemar Kaherah. Kota kontradiksi yang terus dipenuhi tapak-tapak kasut dan kaki ayam seramai 26 juta orang penghuni yang terus memanjangkan langkah para firaun!

Friday, April 10, 2009

du du du du

(1)

“Dua puluh lagi kena buang hari ini!”

Khaleel bercakap dengan suara yang sayu. Anak muda Palestin dengan Phd dalam bidang lanskap itu kelihatan terus bimbang, terutama mengenai survival dirinya.

“Bila mahu habis semua ini?” Tanya Andy Chan. “Susah untuk merancang. Mahu bercuti dan menguruskan sekolah anak-anak jadi tidak menentu!”

Kami sekadar berpandangan kosong. Kebimbangan sudah menjadi mimpi ngeri. Tiada siapa tahu kesudahan episod pembuangan pekerja yang bermula dari Disember lalu. Pembuangan pertama mencecah 700 orang dari 4,000 pekerja. Kini dengan setiap hari ada pembuangan dalam jumlah kecil, sudah separuh pekerja yang dibuang.

“Mungkin syarikat kita akan ditutup dalam masa dua tiga bulan!” Mencelah Velu yang masih pekat dengan Inggeris Keralanya.

“Tidak mungkin ditutup, mungkin bergabung dengan syarikat hartanah milik kerajaan Dubai yang lain, yang semuanya sudah lingkup!” Saya pula mencelah perbualan biasa yang sudah menjadi sebahagian dari suasana pejabat. Kabar angin, spekulasi dan gosip mengenai keadaan kewangan dan kestabilan syarikat pemaju hartanah Dubai yang beberapa bulan lalu dianggap antara terbesar di muka bumi.

“Yang kena buang hari ini termasuk pekerja dari Malaysia dan Singapura!” Khaleel memandang ke arah saya.

Seakan memberitahu yang tiada warga negara yang selamat walau sebelum ini kebanyakan pekerja dibuang berkulit putih, terutama dari Australia, yang dahulunya seramai dalam 70 orang. Kini sudah tinggal enam orang, termasuk Andy Chan, imigran ekonomi dari Hong Kong dengan paspot Australia.

“Maka syarikat yang bergabung itu akan dipenuhi dengan orang tempatan sahaja!” Celah Velu sambil ketawa. Jenaka sadis yang sudah terlalu biasa.

(2)

“Kau tahu berapa gaji minah Kanada yang jadi pengurus komunikasi korporat?” Tanya Ayhab dengan mulut mencemik. Menzahirkan kebencian.

Saya menggeleng. Fikiran agak bercelaru mendengar kabar angin terbaru mengenai pengurangan gaji akan dilaksanakan. Malas juga untuk mengumpat dalam surau.

“Paling kurang 70 ribu dirham sebulan, lebih besar dari gaji saya orang tempatan ini!” Ayhab terus bercakap dengan serius. Dia memang tidak suka dengan mereka yang berkulit putih dan bukan muslim. Menurut Ayhab mereka datang ke tanah Arab sebagai tuan dan bergaji besar walau bodoh. Begitulah, diskriminasi warna kulit yang menjadi sebahagian dari realiti di tanah Arab.

Mungkin darah Yemeni dalam dirinya masih lagi kuat. Dia datang dari Yemen, masuk tentera UAE dan diberi paspot, bukan warganegara sepenuhnya. Ayhab bukan orang Arab tempatan UAE sejati dan asal, maka dia juga tidak termasuk golongan bumiputera atau Emirati yang boleh mendapat pelbagai keistimewaan, termasuk gajinya tidak setinggi gaji bumiputera yang original.

“Bukan tahu kerja pun...patut dia yang kena buang dulu, ini budak-budak pejabat, pemandu, kerani, jurutera macai macam kita yang jadi sasaran. Mana keadilan?”

Ayhab terus mencurahkan perasaan walau dia tidak mungkin dibuang kerja dengan undang-undang buruh yang tidak membenarkan mana-mana syarikat membuang pekerja dari kalangan rakyat UAE.

“Sudahlah gaji besar, kuat rasuah pulak itu!” Ayhab membebel.

Memang sudah ada enam pekerja syarikat, semuanya bos besar yang masih ditahan pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dalam kes penyelewengan dan rasuah yang melibatkan ratusan juta Dirham.

“Salah kau orang Emirati juga!” Saya bersuara sambil ketawa. Mahu seperti melawak walau sinis dan memang serius dengan isu diskriminasi dan prejudis. Dengan isu kebodohan warga UAE sendiri terlalu mengagungkan Barat sehingga sanggup mengorbankan nilai tempatan. Melebihkan keturunan bekas penjajah yang juga musuh kepada agama anutan mereka sendiri.

“Yang pergi ambil dia orang dari ceruk mana, bagi gaji besar dan berkuasa, siapa yang bo...!”

Saya terhenti apabila muncul dua orang pekerja Emirati lain yang saya tidak kenal. Tidak mahu terlepas cakap, nanti terperangkap. Orang Emirati sendiri pun ramai yang masuk lokap kerana rasuah walau berjubah, berserban dan kaya raya. Tamak menyebabkan mereka kehilangan pertimbangan, seperti menaikkan sewa rumah melampau-lampau. Sehingga inflasi menjadi bebanan kepada ekspatriat yang terpaksa menghadapi semua itu kerana tiada pilihan.

Silap hari bulan, kalau tersalah cakap dengan menghina warga Emirati, saya boleh masuk ke dalam lokap sebagai penghina dan penderhaka!

(3)

“Ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku!” Zaid Gogo, jurutera air berbisik. Warga Filipino yang memeluk Islam di Saudi itu serba-salah. Zaid cukup pakar dalam bidang air. Dia pernah bekerja di Masjidilharam sepuluh tahun menjaga sistem pengagihan air zam-zam sebelum berhijrah ke Dubai.

Kami memandang ke laut. Pulau jadian yang menjadi projek hebat syarikat kami tersergam. Masih dalam pembinaan. Terhenti seketika kerja-kerja pembinaan kerana krisis ekonomi. Syarikat kami kekeringan dana. Tiada jualan dan pendapatan masuk sejak bulan September, sebaik krisis kewangan melanda dunia. Kekeringan dana apabila bank juga sama tersungkur. Pelanggan pula tidak dapat membayar. Kitar setan yang melumpuhkan banyak syarikat.

“Kamu lihat dalam air!”

Saya menjengah dari bot kami sewaktu ke pulau. Tiada apa-apa kelainan bagi jurutera elektrikal seperti saya. Cuma ternampak ada arus merah membentuk di permukaan.

“Arus pasang merah atau Algal Bloom sedang menyerang Dubai!”

Suara Zaid cemas. Saya pula panik melihat Zaid cemas walau tidak pasti untuk apa menjadi panik dan cemas.

(4)

“Inilah bala!” Keras sekali suara Ayhab. “Kapitalisme sudah menjadi bala dan bencana kepada manusia! Lihat Dubai, dari padang pasir kosong menjadi kota pencakar langit, semuanya dari kredit, hutang bilion Dollar dan janji-janji pembangunan hebat berasaskan kapitalisme, keuntungan mengatasi kemanusiaan!”

Kami menyambung diskusi kedai kopi sambil membaca akhbar mengenai berita penutupan pantai Dubai disebabkan serangan Algal Bloom. Situasi pembuangan kerja yang terus berlaku sudah tidak menjadi berita. Lapuran positif mengenai ekonomi seakan diperbesarkan walaupun realitinya, indah kabar dari rupa.

Kami yang tinggal nyawa-nyawa ikan sebagai pekerja juga sudah bersedia menghadapi kemungkinan. Tiada kebimbangan lagi. Rezeki dari Allah, paling tidak, kecuali Ayhab yang tidak mungkin balik ke Yemen, kami akan balik ke negeri masing-masing. Atau berhijrah ke Abu Dhabi, Saudi dan Qatar yang masih belum terkena tempias krisis kewangan. Semua terus mencari kerja dengan mengharapkan pemulihan krisis ekonomi adalah seperti yang digemburkan oleh media tempatan.

“Ada kaitan antara keruntuhan sistem kapitalisme dan Algal Bloom yang tiba-tiba menyerang Dubai!”

Kesemua mata memandang ke arah saya. Saya cuba mencari ayat yang sesuai untuk menterjemahkan apa yang berada dalam pemikiran sebaik membaca phytoplanton, tumbuhan satu sel sebagai organisme yang membentuk pemakanan dalam laut. Ada spesis Phytoplanton yang menghasilkan toksin dan membentuk kumpulan besar Algal Bloom yang boleh membunuh kehidupan marin. Ikan dan makhluk laut lain mati kerana kekurangan oksigen.

Malah boleh membunuh manusia yang memakan ikan yang termakan alga dari phytoplanton. Bencana dari pembangunan yang tidak kenal kesedaran terhadap alam.

“Antara sebab Algal Bloom berkembang di sini ialah kerana aktiviti manusia dari nafsu serakah kapitalisme, seperti pembinaan pulau jadian yang kita terlibat ini untuk mengaut keuntungan komersil dengan perasaan takbur. Bertambah dengan pembuangan sampah, najis manusia yang berleluasa ke laut!”

Semua terdiam. Lapuran pembuangan kumbahan najis ke dalam laut oleh pemandu lori yang mahu untung sudah lama sepi. Ada yang ditangkap dan didenda ratusan ribu. Cuma masalah dari air yang tercemar sudah menjadi kronik. Bertambah dengan Algal Bloom.

“Kita mahu mengubah alam semulajadi, seakan mahu melawan hukum, tengok kesannya apabila alam bertindak balas!”

Seperti dilapurkan oleh media, kesan dari Algal Bloom boleh menyebabkan industri pelancungan yang sedia merudum terus jatuh tersungkur di Dubai. Pengusaha-pengusaha hotel sudah bimbang dengan kadar kekosongan bilik-bilik terus menjunam walau pelbagai tawaran diskaun diberikan.

Pelancung tidak lagi berpusu-pusu datang ke Dubai. Tarikan membeli-belah dalam krisis kewangan sudah hilang bersama berita pembuangan kerja dan kerugian pelbagai syarikat besar serta bank merata negara. Gelembung pembangunan hebat Dubai sudah pecah terburai.

“Tuhan hanya menghantar phytoplanton sebagai peringatan kecil, tumbuhan satu sel yang tidak membahayakan, tetapi mengancam apabila bercambah sebagai Algal Bloom dikala ramai masih ramai pemimpin dunia terus menidakkan bala yang membalun peradaban semasa kerana menghalalkan sistem kewangan berasaskan riba!”

(5)

“Betulkan saya cakap, kamu semua tidak akan masuk senarai!”

Andy Chan berkata sambil mengemas mejanya. Dia baru sahaja menerima surat pemberhentian kerja. Mangsa seterusnya selepas Velu dihari sebelumnya. ‘Kumpulan lima jahanam’ hanya tinggal bertiga.

“Sebab kamu semua pergi sembahyang dengan bos. Dia tidak akan buang pekerja yang dia selalu jumpa di surau!”

Begitu kesimpulan Andy Chan. Mudah dan ada sedikit rasis. Andy mengaku yang dia seorang atheis. Tidak pula kami mahu cuba berdakwah, walau selalu Andy bertanya mengenai Islam sebagai cara hidup.

“Kami semua juga masih belum selamat!” Jawab Zaid Gogo. “Kalau tidak hari ini, mungkin esok, senarai sudah ada, cuma tunggu giliran kerana syarikat akan ditutup akhirnya!”

Andy ketawa sinis. Menggeleng-geleng. Kami sudah lima tahun bersama. Sudah mengenal hati budi. Sudah rapat dan perpisahan seperti ini bukan satu yang boleh dielakkan. Seperti kematian yang boleh datang bila-bila masa.

“Balik Australia?” Tanya Khaleel.

“Belum pasti. Mungkin cari kerja lain dahulu di rantau Teluk ini!”

Jawaban Andy itu jawaban standard untuk menyejukkan hati semata-mata. Di luar sana, ruang pekerjaan sudah sempit dan terbatas. Semakin ramai ekspatriat yang dibuang kerja. Sudah mencecah puluhan ribu. Sudah ramai meninggalkan Dubai bersama mimpi ngeri dan memori pahit manis sebagai ekspatriat.

“Pertamanya mahu jual kereta dahulu, masih banyak hutang dengan bank!” Andy berkata dengan mendengus. Tidak mudah lagi menjual kereta dalam krisis yang tidak berkesudahan. Lebih ramai penjual dari pembeli. Harga turut jatuh kerana pembeli mempunyai terlalu banyak pilihan.

“Kalau tidak, tinggal sahaja di lapangan terbang!” Zaid Gogo seperti berseloroh walau sememangnya, banyak kereta tersadai di lapangan terbang Dubai kerana ramai ekspatriat melarikan diri dari membayar hutang. Mengelakan diri dari masuk penjara kerana tidak membayar hutang atau cek tendang adalah kesalahan jenayah

Kami tergelak walau sebenarnya itu adalah antara pilihan yang pernah kami bincangkan kalau menerima surat pembuangan kerja. ‘Parkir dan terbang’ seperti iklan parkir kereta di lapangan terbang sendiri. Terbang terus dan tidak kembali lagi!

“Kawan-kawan, seperti majlis perpisahan dengan Velu semalam, kita nyanyikan lagu tema kita!” Khaleel bersuara dengan keceriaan tersisa.

Kami mengelilingi meja Andy. Tiada lagi kesedihan melulu kerana kami sudah hilang sentimen. Tidak bimbang dan tidak peduli. Segalanya adalah sebahagian dari babak kehidupan.

Begitulah rentetan memori dalam era meriah dan kegilaan pembangunan Dubai dirungkai dalam lagu yang diciplak dari sebuah iklan. Kebetulan atau suratan, lagu iklan syarikat kami mengenai pembangunan Dubai sebagai pusat kehidupan dunia masa depan bertaraf global.

Semuanya manis, mewah dan indah, seperti saujana fatamorgana di padang pasir Dubai yang tiba-tiba seakan menjadi kota berhantu, hanya bangunan-bangunan pencakar langit yang kosong tanpa penghuni dan projek-projek terbengkalai mengisi ruang kosmopolitan. Bayangan yang bukan lagi omokan propaganda media asing terhadap kejayaan Dubai membina mimpi dari pasir-pasir gurun. Realiti yang menyeramkan.

Dan kawan-kawan lain sama menyanyi beramai-ramai, lirik dengan irama ringkas yang mengambarkan Dubai.

“Du du du du du!”

- Tamat -

Sunday, March 08, 2009

Kepompong



Hujung minggu kembali. Hanya sedikit lagi kerja rumah yang perlu disiapkan. Seperti biasa, Najwa akan sedaya mungkin, menangguhkan. Tabiat sejak kecil yang sukar di lupuskan. Sudah menjadi sebati dengan dirinya. Menangguhkan apa sahaja yang berkaitan dengan pelajaran.

Projek Biologi masih diperingkat mukadimah. Masih mencari idea lagi untuk meneruskan. Proses Fotosintesis? Membosankan. Masih belum ditahap mengenal organ manusia.

Matanya memandang jauh ke kerlipan neon. Pemandangan dari tingkat dua puluh apartmen menghala ke creek. Kota Dubai kencang berdenyut. Kesesakan jalan di mana-mana. Itupun dalam dunia kegawatan, mengingatkan Najwa pada ayahnya yang bertangguh untuk membeli komputer riba baru. Yang ada sudah mencecah lima tahun, sudah tidak canggih lagi.

Alasan ayah, ekonomi merudum dan perlu bersabar, perlu menyimpan duit, kalau-kalau ayahnya juga akan dibuang kerja seperti beberapa pakcik kawan-kawan ayah yang dikenalnya. Najwa menerima alasan itu dengan berat hati kerana ramai-ramai kawannya sudah memiliki komputer riba baru yang canggih.

Tiba-tiba ada kerlipan dari kotak emel. Najwa melompat kembali ke katilnya. Gangguan pertama dalam mencari idea projek Biologi sejak SMS yang diterima, tidak sampai dua minit sebelum itu. Gangguan seperti ini memang dinantikan. Malam minggu bersendirian adalah membosankan.

Ya, Facebook!

Terpampang mesej. “Kamu ada permintaan kawan baru. Klik di sini untuk melihatnya”

Najwa teruja. Jumlah kawan Facebook akan bertambah lagi. Sudah mencecah seratus orang.

Mungkin permintaan ini dari seseorang yang dikenalinya. Lantas diklik alamat URL.

Berdebar Najwa dalam mengharapkan imej seorang remaja yang kacak di skrin. Remaja lelaki berpotongan rambut yang rapi dengan senyuman mengancam. Imaginasi terus membawa bayangan manis.

Foto pun dimuat turun.

Namanya, Bishrun.

Najwa terkejut. Melucukan juga. Dia tidak kenal sesiapa bernama Bishrun yang mahu menjadi rakan itu. Namanya juga bukan nama biasa. Dari foto, lelaki bernama Bishrun itu mungkin sama usia dengan ayahnya sendiri.

Najwa klik pada profil. Keliru. Melihat dengan lebih teliti.

Rambutnya juga sudah ada uban. Alamak! Buku kegemaran ialah autobiografi Nelson Mandela dan The confession of the Economic Hitman.

Wau! Status, berkahwin. Apa dia?

Najwa berfikir pantas dalam mencari petunjuk. Mungkin ada penjelasan. Ada sesuatu yang tidak kenal. Najwa tidak kenal lelaki bernama Bishrun yang nampak sebaya dengan ayahnya. Kenapa dia mahu jadi rakan Facebook?

Tahun graduan dari universiti. 1988. Sama dengan tahun ayahnya menjadi graduan.

Mungkinkah ayahnya menyamar sebagai Bishrun yang mengaku seorang pengarah sumber manusia di sebuah syarikat berkaitan kerajaan? Atau mungkin salah seorang kawan ayahnya menyamar sebagai pengarah sumber manusia yang mahu mengintip pergerakan serta aktivitinya secara online?

Najwa bergegas ke ruang tamu. Ayahnya sedang asyik menaip di komputer riba. Manakala ibunya sedang menonton siri ‘Desperate Housewife’ yang diulang tayang berkali-kali dan tetap ibunya setia menonton. Sudah menghafal skrip dan babak adegan. Sudah menjadi sebahagian dari karektor siri popular yang tidak digemari Najwa. Siri itu terlalu lucah bagi Najwa yang masih menggemari Disney dan Nickolodeon.

Ayahnya memang sentiasa bekerja dengan penuh kusyuk. Najwa merasakan ayahnya tidak perasan yang Najwa sedang memerangkap skim licik ayahnya sendiri. Tidak sangka ayahnya meragui kejujuran anak perempuan tunggalnya sendiri.

“Pakcik Bishrun. Ayah kenal siapa dia?”

Najwa bertanya dengan manja.

Ayahnya mengalihkan pandangan dari skrin. Nampak terkejut dan terkeliru. Bukan sahaja Najwa menganggu penyiapan kertas kerja, tetapi juga bertanya sesuatu yang mengejutkan.

“Apa dia Najwa? Pakcik Bishrun?”

“Ya, Pakcik Bishrun yang ayah menyamar dalam Facebook!”

“Facebook? Apa dia Facebook?” Suara ayahnya agak tinggi, sehingga ibunya sama berpaling dari skrin TV.

Ternyata ayahnya memang tidak tahu menahu langsung mengenai Facebook. Sesuatu yang tidak mengejutkan kerana kesibukan ayah dengan kerja dan aktiviti persatuan menjadikan dia ignoran tentang banyak perkara dalam trend teknologi. Ayahnya hanya kenal emel, blog sosio-politik dan laman web akhbar harian serta yang berkaitan dunia kerjayanya.

Dalam rasa bersalah kerana bersangka buruk terhadap ayahnya sendiri, ada sesuatu yang disyukuri Najwa. Biarlah ayahnya buta Facebook. Juga ibunya, Kehidupan onlinenya belum dieksplorasi sepenuhnya. Najwa tidak mahu gangguan. Selain Facebook, Najwa sibuk dengan friendsters, myspace, twitter, selain blog peribadi yang menjadi sebahagian dari perjalanan hidup remajanya. Blog yang membongkar banyak perkara mengenai perjalanan remaja yang dipenuhi kekeliruan.

“Maaf! Sahaja menduga ayah!”

Najwa kegirangan dan terus berlari masuk ke dalam bilik. Kedua ayah dan ibunya terpinga-pinga. Berpandangan sebelum kembali kusyuk kepada skrin masing-masing.

Sebaik kembali menatap profil Bishrun di Facebook, Najwa terasa lega. Bishrun bukan ayahnya. Ayahnya tidak menyamar sebagai Bishrun.

Tetapi persoalan lebih besar menerojah. Siapakah sebenarnya Bishrun? Bagaimana dia kenal dirinya. Mengapakah dia mahu menjadi rakan? Apakah ada udang disebalik batu? Ramai orang jahat dalam dunia siber yang mahu mengambil kesempatan, begitu kata ayahnya.

“Berhati-hati! Tiada privasi dalam dunia Internet. Jangan terlalu mendendahkan butiran peribadi. Berbahaya. Lebih baik menyamar dari berterus-terang!”

Kata-kata ayahnya masih segar. Najwa tidak menyamar dalam facebook. Hanya dalam blog.

Najwa menghela nafas yang ayahnya bukan Bishrun dan tidak tahu mengenai Facebook. Jaringan Facebook sudah dianggotai lebih 150 juta manusia. Bishrun mungkin dari golongan empat puluhan yang sama menjadi penagih fenomena jaringan sosial siber bernama Facebook.

“Mereka ini kadang-kala sekadar pengacau. Facebook adalah jaringan buat anak-anak muda. Golongan yang masih banyak masa untuk di sia-siakan. Golongan yang tidak mempunyai banyak tanggungjawab. Bujang. Ceria!”

Begitu kata Dina, kawan baik yang mempunyai lebih ramai rakan Facebook kerana memang Dina seorang yang glamor. Memang ada persaingan antara mereka, penagih Facebook mengenai jumlah rakan-rakan. Kalau lebih ramai bermakna lebih popular.

Begitulah juga perspektif Najwa yang baru mencecah usia 17 tahun. Dia hanya menerima kawan-kawan yang sebaya dan dikenalnya. Bukan pakcik dan makcik. Apalagi cikgu-cikgu. Bukan orang dewasa yang mungkin berniat serong.

Kerana itu jumlah rakannya juga terhad dikalangan rakan-rakan sekolah dan saudara mara. Najwa cukup berhati-hati. Dengan pelbagai cerita jenayah dan gangguan seksual melalui siber, Najwa mengambil berat semua berkaitan privasi.

“Kenapa Najwa?”

Tiba-tiba suara lembut ibunya mengejutkan Najwa. Cepat-cepat menutup skrin komputer bimbit. Cuba mencari jawaban yang tidak membongkar sesuatu yang ingin dirahsiakan. Kehidupan online melalui Facebook.

“Tiada apa-apa!”

Ibunya tersenyum sinis. Mendekati Najwa. Duduk di birai katil.

“Ibu terdengar pasal Facebook!”

Najwa memandang ibunya dengan kejutan. Berkerut muka yang sedikit berjerawat. Memang sesuatu yang tidak disangka. Ibunya menjadi suri rumah sepenuh masa. Setelah mengikut ayah untuk bekerja di Dubai. Bukan tidak mahu bekerja seperti di Malaysia, sekadar mahu menghabiskan lebih banyak masa dengan keluarga. Tidak perlu bersusah payah mengejar masa dan berdepan dengan politik pejabat, selain pelbagai cabaran lain dalam dunia kerjaya.

“Ibu tahu tentang Facebook?”

Ibunya terus tersenyum. Menatap wajah anak kesayangan yang membesar dalam kehidupan kosmopolitan. Dalam dunia siber. Dalam dunia moden sebuah negara Arab yang masih berpegang pada tradisi dan Islam. Bersyukur berhijrah di Dubai yang masih membuka ruang untuk belajar agama dari masyarakat majmuk.

“Tentu! Ibu tidak sekadar tahu tentang siri Desperate Housewife, Oprah atau Dr Phils!”

Najwa terdiam. Ibunya tidak mempunyai komputer. Sekadar telefon mudah alih. Rakan-rakannya juga terhad dikalangan ekspatriat Malaysia. Tidak bercampur dengan masyarakat tempatan yang agak tertutup.

“Kawan-kawan ibu memperkenalkan ibu pada Facebook, kami guna komputer di kafe Internet kat tingkat bawah....memang seronok, bukan sekadar berkomunikasi untuk sesama kawan di Dubai, malah melalui Facebook, ibu dapat menjejak kawan-kawan lama....merata dunia, berkongsi cerita, permainan dan foto keluarga!”

Najwa makin berdebar mendengar lantunan suara ibunya yang teruja. Selama ini dia memandang rendah keupayaan ibunya terhadap teknologi. Sekali lagi, dia mempunyai persepsi salah terhadap ibu bapanya sendiri.

Tiba-tiba ada lintasan menyambar minda. Prasangka bertalu.

Apakah ibunya menyamar sebagai Bishrun? Apakah ibunya termasuk golongan berusia empat puluhan yang mengacau ketenteraman Facebook? Mahu menjejak aktiviti dirinya secara online?

Tetapi Najwa tidak berani untuk meluahkan prasangka yang menyelimuti minda.

“Wow! Ibu pun sudah jadi ahli Facebook?”

Ibunya membuka skrin komputer riba Najwa.

“Sekarang ibu tahu akaun Facebook Najwa. Nanti ibu akan buat permintaan untuk menjadi rakan Najwa, rakan kepompong Facebook ibu yang ke 200!”

Saturday, November 29, 2008

Alumni Burj Al Haram

(Berita Harian 6 Jun 2009

Sudah hujung tahun. Cuaca yang sepatutnya lebih nyaman masih ditahap musim panas. Iklim berubah drastik selepas tsunami mengubah sedikit geografi. Suhu menjadi ekstrem.
Mungkin bumi sudah terlalu tua dan letih setelah begitu lama beredar berpaksikan matahari.

Terlalu tua kerana dinasour yang pernah menghuni juga telah lupus jutaan tahun dahulu. Yang tinggal hanyalah tulang-tulang dan minyak dari limpahan fosil. Minyak yang membawa limpahan kekayaan kepada bumi bernama UAE ini dan terus melincirkan perjalanan hayat manusia. Minyak menjadi ekonomi dunia turun naik. Harga setong minyak yang turun naik membawa impak ke setiap manusia.

Minyak turut membawa jutaan ekspatriat berdagang mencari rezeki. Mencari wang untuk sesuap nasi. Wang menjadikan bumi berpusing mengikut turun naik ekonomi. Wang juga menjadikan UAE tarikan untuk jutaan tubuh, walau kekadang tidak lebih sebagai hamba kepada pembangunan. Hamba kepada ramai Arab-arab tempatan atau Emirati yang masih berfikiran jahiliyah hanya kerana mereka itu berbangsa Arab yang diberikan minyak.

“Kota ini penuh kontradiksi dalam satu nafas dan ruang terbuka!” Amr Zaki menghembus rokok keretek yang saya berikan sebagai cenderahati. Pemuda Mesir itu sudah ketagih dengan tembakau berempah nusantara. Katanya, keretek berperisa cengkih membuatkan jantungnya lebih bertenaga. Satu pendapat dangkal yang datang dari ketagihan semata-mata.

Muzik rancak Arab di kelab shisha dan suara dari TV sedikit menenggelamkan perbualan dan asap keretek kami. Kemelut ekonomi dunia tidak atau tidak, kami pengunjung tetap ke kelab popular di Qusais tersebut. Ianya sebahagian dari aktiviti malam di Dubai yang tidak pernah tidur. Tempat untuk mengulas dan berspekulasi tentang kehidupan mencabar sebagai eskpatriat.

Kehidupan yang tiba-tiba menjadi sedikit tidak menentu kerana krisis perbankan dan kewangan di Amerika. Boleh sahaja memaki hamun George Bush. Boleh sahaja memberikan harapan baru kepada Barrack Obama. Tetapi buat orang biasa seperti kami yang mencari rezeki dan kehidupan lebih baik di perantauan, segalanya tidak lagi pasti dan meyakinkan.
Dubai sendiri bukan lagi syurga yang menjanjikan bulan dan bintang.

“Tetapi kalau kita dapat menyeleraskan wang sebagai imbuhan dengan kesedaran moral dan agama, tidak begitu ketara kontradiksi di Dubai ini!” Saya cuba berhujah secara logik akal. Menduga Amr Zaki. Kami sudah berkawan hampir dua tahun. Sudah menjadi sebahagian dari keluarga terdekat di Dubai.

Amr Zaki ketawa sinis. Dia cukup berbangga mempunyai nama serupa dengan seorang pemain sensasi dari Mesir di Liga Perdana Inggeris. Sering berjersi Mesir dan pasukan kelab Wigan dengan nama Amr Zaki terpampang dibelakang.

“Tiada kontradiksi dengan agama? Itu fatwa yang songsang sekali. Seperti saya yang bertaraf alim di Mesir dan bertaraf setan di Dubai. Tidak lucu menjadi setan dan malaikat, tetapi itu hakikatnya. Dua identiti berbeda dan boleh bertukar secara sekelip mata!” Suara Amr Zaki sedikit tertekan.

Dia baru berusia 24 tahun. Boleh dikatakan meneguk bir setiap malam dan menganggap seorang pelacur muda Rusia sebagai teman wanita. Dia bertugas sebagai penyelia pembinaan.

Tetapi tidak seperti kebanyakan Arab lain, biar pulang larut malam dari berfoya-foya, Amr Zaki tetap memastikan setiap pagi akan berada di pejabat tepat masanya. Sesuatu yang mustahil untuk dilakukan sekiranya berada di Mesir yang katanya lebih kuat agamanya. Ruang boleh mengubah manusia dalam situasi berbeda. Saya juga mempunyai dua identiti berbeda. Bukan sahaja berbeda identiti dalam realiti, lebih lagi dalam dunia siber.

Setiap sesuatu bergantung kepada diri sendiri. Kami menjadi lelaki yang bebas untuk berbuat apa sahaja di Dubai. Apa makanan untuk disuap, apa jenis alkohol untuk diteguk, apa akhbar yang dia baca dan percaya beritanya, sama ada mahu ke masjid untuk iktikaf atau kelab malam atau bar untuk berfoya dan siapa manusia yang dipilih sebagai kawan.

Itulah kebebasan di negara bebas yang mahu mencapai negara maju secepat mungkin.
“Segalanya bergerak terlalu pantas di sini. Di Mesir, banyak masa terluang dan ada kawalan dari keluarga yang prihatin, walau kerajaan terlalu mengongkong dibawah diktator bernama Mubarak yang mahu mewariskan kerajaan kepada anak menantu.”

Amr Zaki terhenti seketika, seakan bimbang ada polis rahsia Mesir yang mendengar. Memang dia cukup anti kepada kerajaan pimpinan Mubarak. Bukan dia sahaja, setiap rakyat Mesir yang saya kenal sama sahaja pegangan politik. Menyokong parti pembangkang yang mahukan perubahan secara total dalam sistem kerajaan yang sudah teruk korupnya.

“Di Dubai semuanya ikut nafsu sendiri. Kau tahu yang saya sudah cuba berhenti dari meneguk bir. Saya tahu ianya haram. Tetapi tiada siapa peduli di sini, termasuk kau!”

Giliran saya untuk ketawa. Memang saya tidak peduli tingkah laku buruk Amr Zaki. Tidak mahu menjaga tepi kain orang. Tidak mahu jadi Melayu hipokrit kerana saya juga tidak lebih baik dari dia. Tidak mahu persahabatan menjadi permusuhan dan salah faham hanya kerana menegur yang lain. Siapa Melayu ini yang tidak habis khatam quran untuk menegur si Arab yang faham bahasa quran kerana sebagai bahasa ibunda sendiri.

Lebih dari itu, kalau dilihat dari filem-filem Mesir, bir sudah menjadi sebahagian dari budaya kelas menengah. Lelaki perempuan semuanya meneguk bir atau wain. Sama seperti mendengar azan dari dalam kompleks membeli-belah dan kelab malam. Seakan menjadi budaya Arab, bukan lagi mengikut suruhan agama yang membawa kebaikan dan pahala.

Kami terdiam sambil enak menghisap shisha. Kata-kata Amr Zaki itu sebenarnya cukup sinis dan menikam kalbu. Kepedulian bukan budaya ekspatriat yang berkelompok mengikut komuniti masing-masing. Seperti tembok-tembok vila besar yang memisahkan warga Emirati dengan ekspatriat. Masing-masing menjaga wilayah sendiri.

Saya melihat keliling ruang kelab shisha yang terus dipenuhi oleh pengunjung. Pemuda Emirati dengan jubah dan serban putih menjadi majoriti. Walau di luar sana, mereka adalah minoriti di tanahair sendiri. Juga pemuda dari negara-negara Arab lain. Tiada pemuda India atau Pakistan, walau di luar sana mereka adalah majoriti di mana-mana. Ironi.

Yang sama antara kami, anak-anak muda tidak kira apa warganegara mereka mula melihat agama sekadar pilihan peribadi. Sesuatu yang peribadi untuk dikongsi dan Islam tidak sekuat identiti kebangsaan an negara sebagai identiti kebanggan. Identiti yang sepatutnya menjadi akar kekuatan umah.

“Di Dubai saya boleh beribadah secara bebas sebagai orang biasa disamping mengejar kerjaya. Walau ada diskriminasi antara warna kulit masih berleluasa dikebanyakan syarikat, tetapi selama bekerja di sini, saya diukur dari tahap produktiviti, bukan pegangan agama...!” Davoud yang sejak lama duduk bersama tetapi sekadar mendengar perbualan tiba-tiba mencelah.

Pemuda Iran yang mempunyai karier dalam pemasaran produk binaan itu memang suka menjadi pendengar yang baik. Mungkin kerana dia seorang Shiah yang tidak suka campur perbualan kami orang-orang Sunni. Sengketa antara Sunni dan Syiah sudah lama dan kronik.

Tetapi Davoud adalah kawan yang kami kenal bukan sebagai Syiah dan interaksi kami tidak pernah melepasi tembok fahaman. Menjaga sensitiviti yang boleh merungkai persahabatan.
Dubai memang dipenuhi kontradiksi dalam sebuah negara Arab yang juga mengaku negara Islam. Ada kekebasan beragama walau tidak sepenuhnya. Bukan sahaja ada gereja tetapi masjid-masjid syiah. Ada kuil tersembunyi dalam rumah. Tidak sedemikian kalau di Arab Saudi. Kalau dikira, UAE juga sebahagian dari bumi Hijjaz, bumi kelahiran Nabi terakhir.

“Dubai bukan sahaja menyilaukan mata dan nafsu-nafsi. Tetapi juga boleh menggelirukan untuk pelancung dan ekspatriat yang baru datang. Sebuah negara Arab tetapi majoriti orang India dan Pakistan!” Sambung Davoud tersengih. Dia menjadi rakan tunggang bir Amr Zaki yang karib. Sama-sama mempunyai teman wanita dari Rusia. Sama kuat anti-Israel dan anti-Amerika tetapi hanya Davoud yang sanggup berjihad walau sebagai pengebom berani mati demi Palestin dan Iraq. Itulah yang mungkin memisahkan tahap keimanan mereka.

Kami ketawa mendengar kenyataan ironi berbaur tragedi mengenai ketidakseimbangan demografi UAE yang sudah menjadi klise. Bukan jenaka berunsur rasisme yang bertaraf melampau. Sudah jadi topik biasa kerana itulah realiti yang kekadang menyakitkan. Lebih lagi kerana mereka yang menjadi majoriti itu terlalu rasis dengan kelompok dan kekampungan minda. Mereka boleh keluar dari kampung di ulu pedalaman benua asia selatan tetapi tidak boleh membawa keluar kekampungan dari minda.

Bukan salah ibu mereka mengandung untuk melahirkan zuriat berminda ketuanan kolot dan tidak salah UAE menjadi tuan rumah yang cukup baik menampung masalah pengangguran dan ekonomi negara lain. Negara yang penduduknya terpaksa keluar untuk mencari rezeki keluarga.

Jenaka rasisme atau tidak, mereka penting sebagai penggerak utama pembangunan Dubai yang semakin menjadi tidak realistik. Megalomania. Bangunan tertinggi dunia. Kompleks membeli-belah terbesar di dunia. Lapangan Terbang terbesar dunia. Pulau buatan yang kelihatan dari bulan. Semuanya mahu menjadi yang ‘ter’ di dunia.

Semuanya superfisial demi kunyahan ego. Miraj dari saujana padang pasir yang berubah kerana minyak dan cita-cita bercampur nafsu. Bukan mereka tidak boleh, mereka sudah berjaya untuk satu peringkat dengan usia negara yang masih baru, hampir sebaya dengan saya sendiri. Tetapi setiap sesuatu ada had dan lebih baik mengukur baju sendiri.

Penduduk yang bertambah saban tahun adalah ekspatriat. Emirati semakin tenggelam dalam lautan globalisasi di bumi sendiri. Sudah menjadi penonton kepada pembangunan yang boleh menguburkan bukan sahaja identiti, malah maruah dan hak sebagai pribumi mutlak. Hartanah juga bebas dimiliki orang luar atas dasar keterbukaan ekonomi yang menikam diri.

“Jangan lupa, buruh-buruh yang dianggap kelas tiga itu adalah nadi pembangunan yang diekploitasikan sebagai menjadi hamba abdi zaman moden.” Perlahan saya menyuarakan yang terbuku. “Dieksploitasikan oleh bangsa mereka sendiri melalui sistem kapitalis yang tidak kenal kemanusiaan. Segalanya keuntungan semata-mata!”

“Ya, kita bagi kredit kepada yang sepatutnya!” Perlahan Amr Zaki menangguk.

“Kredit?” Ketawa pula Abu Dabdoub yang tiba-tiba muncul dengan segelas bir. “ Kad kredit percuma untuk semua orang dan tiada cukai pendapatan, selamat datang ke Dubai yang kini gelembungnya sudah mahu pecah berderai!”

Kami sambung hilaian. Lucu kerana teringat tiba-tiba iklan kad kredit percuma tanpa apa-apa cagaran lenyap di akhbar. Iklan-iklan penjualan hartanah dengan segala promosi pinjaman juga menghilang. Bank besar atau kecil terpaksa bail-out oleh kerajaan kerana krisis kredit.

“Dan kita adalah mangsa masalah kredit dari rejim kapitalis Amerika. Hidup Obama!”

Abu Dabdoub mengangkat gelas birnya. Pemuda Syria yang mahu jadi broker besar itu baru berpaspot Kanada. Dia penganut Kristian Orthodoks dan kami kenal dari kelab Shisha tersebut. Kalau dia cakap tentang agama, silap-silap dengar orang menyangka dia seorang muslim fundamental kerana janggut lebatnya seakan ayatollah.

“Harapan baru untuk semua!” Sambut Davoud. “Semuga setan Amerika akan sedar diri dan tahu yang mereka bukan lagi segagah dahulu. Sudah sepatutnya muflis kerana menzalimi dan membunuh orang Islam yang tidak berdosa hanya kerana mempertahankan Israel!”

Suasana semakin meriah. Pemuda-pemuda Emirati semakin ramai berkumpul untuk melihat perlawanan bola peringkat pusingan awal piala dunia antara UAE dan Iran.

Dua negara yang berjiran dan bersahabat yang ada pertalian sejarah dan imigrasi. Masih juga ada sengketa perebutan tiga pulau di Teluk Arab atau Teluk Parsi, bergantung dari mana nama itu disebut. Kalau dari negara Arab, Teluk Arab, kalau dari Iran, tentunya disebut Teluk Parsi.
Melihat suasana kelab shisha memang seakan tiada krisis kredit dan masalah ekonomi. Tiada kemelut kewangan. Semuanya normal. Tiada apa-apa berlaku seperti lapuran media dan blog.
Sesuatu yang membuatkan emosi menjadi janggal.

Tayangan selingan di TV menyelitkan informasi pembangunan UAE. Bakal dipenuhi ribuan pencakar langit yang mendongak angkasa. Berebut untuk menjadi yang tertinggi di dunia. Burj Dubai sudah mencapai tahap tertinggi dengan 800 meter. Ada sebuah lagi akan dibina setinggi 1 km dikawasan berhampiran. Kemudian putera dari Saudi mengumumkan satu lagi menara melebihi 1 km!

Ternyata bumi sudah hampir sampai ke penghujung. Para Arab Baduin yang dulunya pengembala kambing dan naik unta, kini memandu Ferrari dalam satu generasi sahaja. Seperti hadis Nabi SAW, generasi Baduin yang sama berebut-rebut untuk membina pencakar langit tertinggi di muka bumi dari limpahan minyak. Minyak dari fosil dinasour yang bakal kembali hidup berpesta dalam taman tema Dubailand.

“Ini semua pusingan kehidupan. Yakinlah masa depan kita masih di sini. Kalau tidak di Dubai, di Abu Dhabi yang masih mempunyai minyak untuk seratus tahun lagi!” Perlahan saya meneruskan perbualan yang sudah sampai ke kemuncak. Seperti mana tahap alkohol dalam tubuh Amr Zaki, Davoud dan Abu Dabdoub sudah melebihi tahap selamat untuk memandu pulang tanpa membawa kecelakaan.

Ketiga mereka memandang saya dengan senyuman. Mata pun bersinar. Kemerahan oleh tahap alkohol.

“Kami memang tidak mahu pulang. Biar kampung halaman kami masih di Mesir, Syria atau Iran, masa depan kami tidak di sana. Tiada apa-apa di sana kecuali keluarga dan memori. Kami akan tetap berusaha mencari kerja lain di sini!”

Sayu juga mendengar nada kata-kata Amr Zaki yang kuat berbaur alkohol. Bukan sekadar kerana saat perpisahan malam hampir tiba, tetapi juga esok pagi saya akan berangkat pulang. Mungkin buat sementara, mungkin selamanya. Sesuatu yang tidak terduga sebagai musibah.
Notis pemberhentian kerja yang kami terima serentak seminggu lalu menjadikan kami menganggur kembali. Empat sahabat shisha menerima nasib yang sama sewaktu bursa saham Dubai dan Abu Dhabi jatuh merudum dan kehilangan ratusan bilion sekelip mata.

“Jadi kamu mahu juga pulang ke Malaysia? Berkahwin dan meneruskan pengajian peringkat sarjana?” Tanya Davoud.

Saya mengangguk perlahan. Begitulah keputusan saya sementara ini. Tarikh perkahwinan telah ditetapkan setahun lalu. Segalanya sudah dirancang dan disiapkan dalam musim cuti sekolah. Dalam musim haji dan tahun baru. Mendirikan rumah tangga sebagai tanggungjawab, bukan pilihan yang boleh ditangguhkan.

Begitupun, tiga tahun di UAE sejak graduasi sebagai eksekutif pembangunan perniagaan hartanah sudah sedikit sebanyak memberi pengalaman. Ada juga wang simpanan untuk digunakan di waktu kecemasan sebegini.

Sebenarnya wang simpanan dan pampasan yang ada sudah agak cukup untuk setahun dua. Mungkin sehingga ekonomi kembali pulih dan saya datang kembali sebagai ekspatriat. Kalau masih ada rezeki di UAE dan Dubai masih tidak terbenam dalam krisis kredit, mahu juga membawa isteri meneruskan kehidupan.

“Jangan lupa kelab shisha ini. Tempat kita berkenalan dan menjadi sahabat baik sejak tiga tahun lalu!” Davoud ketawa. Kami berpelukan dalam terharu dan hingar bingar. ‘Bachelor Party’ sekali dengan majlis perpisahan.

“Ya, siapa boleh lupa kenangan manis di sini. Datang ke kuliah hampir setiap malam dan sudah seperti sebuah universiti!” Sahut Abu Dabdoub yang sebenarnya tidak pernah ke universiti. Mendapat ijazah MBA yang dibeli dari Internet.

Saya tersengih sambil mencari perkatan untuk menjawab dalam bunyi siren yang semakin menjadi kerap di malam Jumaat di Dubai. Kemalangan jalanraya sudah mencapai tahap kritikal walau ratusan kamera radar dipasang. Tentunya, kereta mewah berpeleseran, kerlipan neon dan malam-malam kesunyian di Dubai akan terus manggamit.

“InshaAllah, kita kembali bershisha sebagai reunion alumni Burj Al Haram!”

- Tamat –

Saturday, November 15, 2008

Pasport

Berita Harian
13 Disember 2008
1) Syaaban
Pertemuan singkat dalam bulan Syaaban lalu yang berkebetulan juga bulan Ogos di Dubai membawa mereka berdua ke alam perkahwinan. Siapa menduga yang pertemuan dalam sebuah majlis sambutan ulang tahun kemerdekaan anjuran komuniti ekspatriat Singapura tiba-tiba mengubah kehidupan.
Pandangan pertama menikam kalbu dan pertemuan selanjutnya mengikat dua hati. Cinta itu tidak selalunya buta. Cinta, selain wang dan politik, juga menjadikan bumi berpusing, sama ada kerana kedamaian atau peperangan.
Dalam percintaan dan bulan madu berpanjangan, memang tidak begitu terasa yang masa berlalu cepat sekali. Apalagi dalam kehidupan kota Dubai yang sentiasa berputaran ke semua arah. Bersama ruang yang pesat berubah, telah setahun masa berlalu dan Ogos muncul kembali.
Yang tidak berubah adalah mereka masih berdua. Belum ada orang ketiga. Belum ada penyeri rumahtangga walau rumah mereka tidak bertangga.
“Belum ada rezeki!” Jawaban bercampur malu untuk menutup setiap soalan tentang zuriat. Soalan-soalan nakal dan kadang sindiran mesra yang semakin kerap menjadi bahan gurauan.
Gurauan yang semakin menjadi asakan krisis dalam benak minda. Kerana sebenarnya ada yang lebih dari kehadiran seorang orang baru. Sesuatu yang merungkai minda. Sesuatu yang meresahkan emosi.

2) Syawal
“Semasa masih kecil, saya sentiasa merasakan saya anak jati Singapura yang tipikal. Seperti kawan-kawan sebaya lain. Nenek moyang pun dari darah campuran Melayu, Cina dan India. Setelah bersekolah baru saya tahu yang darah tidak sepenting apa yang tertera dalam kad pengenalan di bawah kategori ‘bangsa’!”
Batrisya kembali bernostalgia sambil menatap gemerlapan neon dan lampu dari bangunan di Marina Dubai. Mereka berjalan perlahan menyusuri benteng sebaik selesai makan malam di sebuah restoran masakan Thai. Teringat berhari-raya di Singapura bersama keluarga dan sahabat handai.
Kuan Yew mendengar dengan tekun sambil sekali-sekala menatap skrin telefon bimbit iPhone yang berdering dalam nada senyap. Cuba menfokuskan perhatian pada kata-kata Batrisya walau bukan kali pertama didengar keluhan tersebut.
“Bayangkan, aruah ayah saya pernah terasa begitu kecewa yang dia tidak pernah dipanggil untuk menyertai Khidmat Negara hanya kerana dia seorang lelaki Melayu. Seolah tidak lengkap kewarganegaraan kerana kalau negara diserang, dia tentunya tidak diperlukan untuk mempertahankan tanahair sendiri, walhal keturunan kami ratusan tahun mendiami pulau Singapura, sejak sebelum Raffles mendarat lagi!”
Beberapa kanak-kanak berlari sambil gelak ketawa. Menceriakan suasana Syawal yang agak hambar. Sekadar hari cuti umum untuk warga kerja Dubai terutama ekspatriat berehat kalau tidak pulang berhari raya di negara masing-masing.
“Saya juga terkeliru kerana kawan-kawan bangsa Cina sering menakrifkan Khidmat Negara sebagai ‘Tentera’. Dalam keluarga saya, para lelaki Melayu yang mendapat panggilan untuk menyertai Khidmat Negara seperti menang hadiah loteri. Bernasib baik. Ada yang dipanggil, lebih ramai yang tidak. Kebanyakan dari keluarga kami menyertai pasukan Polis kerana kerajaan tidak begitu selesa kalau orang Melayu menyertai tentera!”
Sebahagian dari dialog kitar semula dari blog peribadi Batrisya yang pernah membuatkan Kuan Yew insaf tentang sesuatu yang dahulunya dianggap mitos. Memberi perspektif berbeda mengenai persepsi yang pernah menutup minda.
“Setiap ulangtahun hari kemerdekaan juga kami sambut dengan hati terguris, terasa seperti anak tiri dan warganegara kelas ketiga. Kaum Melayu Singapura seolah-olah tidak diperlukan oleh negara kelahiran sendiri!”
Bergema kata-kata Batrisya dalam gegendang telinga Kuan Yew. Sesuatu yang berdentum dalam ruang segar Marina Dubai. Sesuatu yang memecah tembok persepsi hitam dan tragedi yang menguasai pemikiran.

3) Zulkaedah
Halaman dan dalam dua banglo besar bersebelahan seperti istana di bandar Al Ain itu dipenuhi eskpatriat muslim dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Mereka datang dari Dubai, Abu Dhabi, Sharjah, Ras Al Khaimah, Umm Al Quwain dan Fujairah untuk bergotong royong dalam menjayakan ibadah korban dan memasak di pagi Aidil Adha. Lebih kurang empat ratus orang kesemuanya. Ada yang bermalam di Al Ain sehari sebelumnya dan ada yang tiba selepas subuh.
Al Ain adalah bandar universiti, perladangan dan perlancungan di sebuah wadi bersempadanan dengan Oman dan terletak dalam emiriyah Abu Dhabi. Hanya satu jam setengah perjalanan dari Abu Dhabi dan Dubai.
Dua banglo tersergam 12 bilik tiap satu itu dihuni oleh tujuh puluh empat rakyat Malaysia yang bekerja sebagai jurutera pesawat jet kepunyaan tentera UAE di Lapangan Terbang Al Ain. Kesemua mereka adalah pesara TUDM yang kini merantau mencari rezeki di bumi UAE. Sudah senior dari segi usia dan dipanggil pakcik oleh ekpatriat muda lain, serta atuk oleh kanak-kanak.
Gamat dan meriah suasana. Suara kanak-kanak bermain dengan kambing-kambing yang berjumlah 40 ekor dan 2 ekor lembu yang bakal di korbankan menceriakan ruang. Jerit dan ketawa berselang seli dengan tangisan. Bagai sebuah mini Arafah kecuali mereka tidak berpakaian ihram dan berbaju Melayu dan kurung di ruang gurun.
Itulah pertama kali untuk Kuan Yew bersama-sama berada dalam suasana sebegitu. Terasa kelainan sekali. Dalam mengamati suasana dan berkenalan dengan ramai ekspatriat lain yang belum pernah ditemui sebelum itu.
Sedikit sebanyak Kuan Yew memahami erti kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Dia ada membaca buku yang diberikan oleh Batrisya. Kisah korban yang bermula dari Habil dan Qabil. Simbolis sekali di zaman moden dan canggih ini. Begitu menduga keimanan manusia yang semakin parah dikorbankan oleh kebendaan dan nafsu serakah.
“Teringat pada cucu-cucu!” Tiba-tiba Pak Kasim, salah seorang penghuni banglo, menunjukkan gambar yang tertera di skrin telefon bimbit Blackberrynya. Tergenang airmata Pak Kasim yang pertama kali berhari raya jauh dari keluarga. Dia baru tiba dalam bulan Syawal lalu. Masih dalam kerinduan terutama pada isteri.
Kuan Yew terasa serba salah. Sayu hinggap dalam sanubari. Teringat ayah dan ibunya yang sebaya dengan Pak Kasim di Pulau Pinang. Masih belum bersara kerana kedai runcit milik mereka tiada siapa yang mahu mewarisi. Kesemua lima adik beradik Kuan Yew berjaya dalam kerjaya dan bisnes sendiri. Tiada siapa mahu berkorban untuk meneruskan sebuah kedai runcit yang makin terancam oleh persaingan pasaraya besar yang tumbuh bagai cendawan.
“Merantau untuk mencari makan seperti kita ini juga satu pengorbanan!” Perlahan Pak Kasim berkata dengan jari-jarinya menghantar SMS. “Malah mengerjakan ibadah haji juga satu pengorbanan dengan meninggalkan segalanya untuk berhimpun di sebuah gurun demi menuruti perintah Allah!”
Kuan Yew teringat catatan Batrisya dalam blognya semalam. Batrisya menyatakan yang syariat dan ibadat korban tidak bermaksud sekadar menyembelih haiwan setahun sekali. Pengertian utama ialah keikhlasan dan ketaatan menunaikan perintah Allah yang pasti akan menguji iman setiap yang mahukan keredhaan. Allah telah menguji keimanan Nabi Ibrahim dengan memerintahkan menyembelih Ismail melalui mimpi. Realitinya, Allah tidak memerlukan darah dan dagingnya. Pengorbanan ayah dan anak itu sebagai iktibar untuk manusia sejagat.
Kuan Yew mengerti erti pengorbanan dari apa yang dia lalui biar tidak seberapa. Dia juga telah berkorban dengan meninggalkan kepercayaan tradisi. Bukan lagi sekadar demi sebuah cinta terhadap Batrisya tetapi demi taufik dan hidayah yang datang dari manis percintaan.
Bumi UAE banyak memberi pengajaran dan pengalaman mengenai pengorbanan, secara langsung atau tidak dalam kehidupan yang semakin mencabar oleh persaingan dan pelbagai krisis dunia.
“Sudah lama bekerja di UAE?” Tanya Pak Kasim sambil menyalakan rokok. Kemudian menghembuskan asap ke ruang Al Ain yang hijau dan tiada pencemaran udara.
“Sudah lima tahun dan memang tidak terasa perjalanan masa!”
“Gembira di bumi yang penuh sejarah perjuangan dari Nabi Ibrahim ke Muhammad SAW ini?”
Kuan Yew mengangguk keharuan. Tersenyum sambil melihat ke arah Batrisya yang datang berlari ke arah mereka berdua dengan wajah ceria. Kuan Yew memperkenalkan Batrisya kepada Pak Kasim. Menambahkan sayu Pak Kasim yang terkenang anak perempuan bongsunya yang masih belum berkahwin walau sudah melebihi usia tiga puluhan. Masih belum habis tanggungjawabnya.
“Ini panggilan abang Johari dari Makkah!”
Kuan Yew bercakap mesra dengan abang iparnya. Johari sudah menjadi warganegara New Zealand yang berkahwin dengan seorang wanita Maori. Kuan Yew dan Johari sentiasa berhubung melalui emel. Selalunya berdiskusi mengenai rasisme dan diskriminasi antara ekspatriat di UAE dan imigran bukan kulit putih di New Zealand.
Sesuatu yang menjadi sebahagian dari rencah kehidupan. Realiti selalunya pahit tetapi kepahitan boleh menjadi penawar.
Pernah Kuan Yew menulis penuh emosi kepada Johari, “Bayangkan, kekadang hidup penuh dengan ironi, parodi, satira dan paradoks. Sejak kecil, saya pernah terasa menjadi warganegara kelas kedua di tanahair sendiri walaupun nenek moyang telah berhijrah ratusan tahun dahulu, sejak empayar Melaka. Masih bukan bumiputera dibawah perlindungan akta 513. Kini, saya menjadi ekspatriat kelas kedua dalam sebuah negara asing kerana warna kulit berbeda dan negara ini bukan negara orang kulit putih, apalagi negara ini adalah negara Islam!”
Catatan itu adalah cetusan rasa dari persepsi selepas tragedi 13 Mei yang semakin terburai dengan kesedaran. Prasangka antara kaum terus menghantui sebuah negara makmur dan mewah dengan sumber alam untuk dikongsi bersama. Perbedaan sepatutnya menjadi kekuatan, bukan kelemahan yang menghancurkan.
Kini interaksi bersama warga sawo matang nusantara lain di UAE, selain berdialog dan berdiskusi dilaman forum dan blog di alam siber, Kuan Yew semakin memahami apa yang telah berlaku dari sejarah sebuah negara merdeka yang dipanggil tanahair. Memahami dari perspektif mereka yang selama ini dianggap musuh.
Lebih-lebih lagi setelah mengahwini Batrisya, wanita Melayu yang lahir di Singapura, warganegara Singapura. Pulau yang sejak ribuan tahun dahulu adalah sebahagian dari Tanah Melayu. Jodoh menemukan Kuan Yew bukan sahaja dengan seorang muslimah yang patriotik, tetapi menghurai persoalan sensitif yang hinggap dalam jiwa memberontaknya. Yang menjadi tembok kemesraan.
“Aku teringat filem Malcom X yang insaf dalam ribuan manusia mengenai rasisme, prejudis dan persaudaraan dalam Islam. Kini bagaikan Malcom X yang terasa dihargai sebagai Negro di Arafah dan sama seperti Malcom, Arafah mengubah persepsi Melanie, isteri aku, juga terhadap Islam. Rasa-rasanya dia mungkin satu-satunya Maori dalam jutaan manusia yang berihram ini dan tidak janggal menjadi minoriti dalam suasana global!”
Johari sebenarnya jauh telah berubah sejak meninggalkan Singapura dan suasana alam Melayu. Pemikirannya telah menjadi liberal dan begitu terbuka. Katanya dia mahu jadi muslim yang universal, suatu definisi yang kabur dan menggelirukan. Kerana itu sejak menjadi warganegara New Zealand, dia bukan sahaja memendekkan namanya sebagai Joe dan mengambil nama keluarga isterinya sebagai nama keduanya, malah mengahwini budaya dan cara hidup orang tempatan sepenuhnya. Dia Maori bertubuh Melayu.
“Semuga Obama juga akan menjejak langkah Malcom X!” Sepatah kata Kuan Yew mengakhiri perbualan yang bergema dalam dirinya.
Jauh di sudut hati Kuan Yew, dia mengharapkan ayah ibunya dan adik beradik lain sama menyambut hari raya korban, sebagai Muslim. Sama menikmati keindahan perasaan yang tidak tergambarkan.
Begitupun realitinya, dia masih tidak dapat membayangkan dia atau adik beradik lain boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia. Mustahil juga untuk Batrisya dan Melayu lain dinobatkan sebagai Perdana Menteri Singapura dalam waktu terdekat.
Apatah Melanie, tidak mungkin menjadi Maori pertama sebagai Perdana Menteri New Zealand walau berbangsa Maori yang menjadi pribumi New Zealand ribuan tahun dahulu dan New Zealand sudah ada Gabenor dan Perdana Menteri dari kalangan wanita!

4) Muharam
“Antara Kanada, Australia, New Zealand dan Britain, paling menarik ialah Kanada. Negara luas, masih kurang penduduk dan kabarnya kurang diskriminasi terhadap imigran dari Asia!”
Kuan Yew mendengar Batrisya berhujah sebaik mereka selesai membuat carta perbandingan. Sedang membuat analisa untuk berhijrah. Sudah hampir tiga bulan melakukan penyelidikan, seakan sebuah tesis untuk masa depan.
Masa depan yang menentukan kewarganegaraan seorang anak yang bakal lahir.
Johari yang transit di Dubai bersama keluarga setelah pulang dari mengerjakan haji, masih ketawa kecil. Teringat hujah kedua mereka sebaik mengetahui Batrisya sudah berbadan dua. Kegembiraan menjadi ayah dan ibu yang masih diselaputi keresahan.
“Kalau bayi ini lahir di Malaysia, dia akan menjadi seorang Cina kerana bapanya seorang Cina. Tetapi kalau dia lahir di Singapura, ibunya rakyat Singapura berketurunan Melayu, dia akan jadi Melayu dalam kad pengenalan!”
“Bagaimana kalau dia lahir di Dubai? Dia tidak jadi Arab ke?”
Tanya Johari berjenaka disambut ketawa.
“Tidak seperti Amerika, negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) tidak sekali akan memberi kewarganegaraan kepada anak ekspatriat yang lahir di sini. Kalau tidak, sudah tentu lebih ramai Emirati yang berketurunan India dan Pakistan. Kalau mengikut nisbah, sudah lama orang Arab menjadi rakyat minoriti di negara sendiri, boleh dipanggil Emiriyah India Pakistan Bersatu!!”
Penjelasan Kuan Yew sedikit melucukan. Memang orang India dan Pakistan yang berperang di tanahair sendiri, nampak boleh bersatu di negara orang, kecuali kalau ada pertandingan kriket.
Tetapi begitulah realiti di sebuah negara Arab yang kaya pendapatan dari petroleum dan perdagangan tetapi miskin dengan penduduk pribumi. Terpaksa mengimpot tenaga luar untuk memajukan dan memakmurkan negara, sehingga menjadi minoriti di tanahair sendiri dan berdepan dengan ancaman sekuriti, pertembungan nilai agama, budaya yang kronik dan ketikdaseimbangan demografi.
“Sememangnya bertuah kalau menjadi warga Emirati. Kemudahan yang diberikan oleh pemerintah cukup baik dan banyak. Malah mereka dianggap antara yang terkaya di dunia dengan pendapatan per kapita yang cukup tinggi. Walau tanpa demokrasi canangan Amerika, raja UAE menjaga kebajikan warganegara sepenuhnya. Rumah murah pun harga sejuta ringgit, biasiswa, perubatan percuma, kahwin pun dapat duit!”
Sambung Batrisya yang pernah berangan untuk menjadi warganegara UAE melalui perkawinan. Tetapi jodoh menemukan dia dengan Kiew Siew, warganegara Malaysia berbangsa Cina.
Mungkin ada rahmatnya juga kerana kes perceraian di UAE agak tinggi dan selalunya, lelaki Emirati akan mengambil wanita bukan Emirati sebagai isteri kedua. Kerana kalau mereka mempunyai isteri pertama yang bukan wanita Emirati, mereka akan kehilangan banyak kemudahan, terutama elaun perkahwinan sebanyak 70 ribu dirham.
“Tetapi kalau bayi ini lahir di sini, apakah mungkin, dia boleh didaftarkan sebagai Melayu di Malaysia atau sebagai Cina di Singapura?” Tanya Melanie, isteri Johari yang agak terkeliru. Menggaru kepala yang tidak gatal.
Mereka ketawa. Di luar Festival Membeli-belah Dubai terus meriah walau dunia dalam krisis ekonomi. Sesuatu yang tidak janggal dan pelik.
“Kalau lahir di Dubai, terpulang mahu daftar mengikut negara ayah atau ibu. Rasanya sama sahaja, tetap sebagai Cina di Malaysia, dan Melayu di Singapura!”
“Jadi kamu berdua merasakan dengan berhijrah ke negara lain sebagai satu penyelesaian? Bayi ini bukan lagi Melayu, Cina, atau rakyat Malaysia, rakyat Singapura? Tetapi bangsa Asia warganegara Kanada, misalnya?”
Batrisya dan Kuan Yew berpandangan. Terdiam.
Perlahan Kuan Yew berkata, sambil menggenggam erat tangan Batrisya, “Sebenarnya ada yang lebih utama dari kewarganegaraan, bangsa dan warna paspot, bayi ini mesti seorang Muslim, sebaiknya seperti Ismail yang berkorban demi ketaatan kepada Allah!”
Mendengar itu, Johari tersenyum. Wajahnya nampak bersih setelah mengaku sebagai seorang muslim fundamental yang lahir semula. Katanya mahu terus meninggalkan rokok, alkohol dan lain-lain kenakalan yang menjadi sebahagian dari muslim liberal dan universal. Hidayah datang dari filem Malcom X yang membawa dia ke Arafah bersama Melanie sebagai seorang haji dan hajah. Selain kesedaran dari taburan uban-uban yang semakin menebal di kepala walau dicuba pelbagai ubat dan pewarnaan.
“Kalau begitu, tentu kau tahu jawaban terbaik untuk menyelesaikan masalah teknikal jati diri seorang bayi yang belum lahir ini, bukan?”
Kuan Yew dan Batrisya terpinga-pinga. Menanti jawaban dari Johari yang mengangkat salah satu paspot di atas meja.
- Tamat –

Saturday, August 23, 2008

Lesen Terbang

Tragedi Lesen Terbang

Oleh Fudzail




(Berita Harian 28 Februari 2009)

1) Ini Dubai, Bukan KL

“Mahalnya belanja untuk ambil lesen kereta!”
Mat Ju terpinga-pinga.
“Sampai empat ribu dirham?”
Mat Jar ketawa. Reaksi biasa dari pendatang baru ke bumi Dubai. Memang sesuatu yang biasa untuk terkedu apabila mendengar jumlah besar sebegitu hanya untuk mendapatkan sekeping lesen memandu.
Mat Ju masih menggeleng-geleng kepala. Fikirannya berkecamuk. Dia baru seminggu tiba di Dubai dan masih tinggal di hotel yang disediakan majikan. Visa permastautin pun belum dicop di paspot. Masih dalam proses di jabatan Imigresen Dubai. Masih bertaraf pendatang asing tanpa izin.
“Lesen Malaysia tidak laku macam lesen Singapura di sini. Kalau lesen memandu Singapura terus boleh ditukar dengan lesen Dubai. Macam juga kalau kau rakyat UK, USA, Australia, New Zealand dan negara-negara orang putih yang dikatakan negara maju dan mempunyai lesen memandu negar-negara tersebut!”
“Kenapa lesen memandu Singapura boleh ditukar dan kenapa lesen memandu Malaysia tidak diterima? Bukankah keduanya memandu disebelah kanan dan mewarisi sistem British? Bukankah Singapura dulu pun dibawah Malaysia?”
Mat Ju terus bertanya untuk memuaskan hati yang masih panas dengan isu Batu Putih. Lagipun, dia sudah merancang mahu membeli sebuah kereta mewah sport yang lama diidamkan sejak di bangku sekolah. Seauatu yang tidak mungkin kalau dia masih bekerja di tanahair melainkan dia menang loteri atau empat nombor ekor.
Harga kereta memang murah di Dubai. Harga petrol juga masih jauh lebih murah walau harga petrol dunia telah meningkat. Bertuah juga Mat Ju untuk datang bekerja di Dubai sebaik harga petrol naik sebanyak 40% di tanahair. Terlepas dari krisis yang membuatkan ramai gelisah kerana terpaksa mengubah gaya hidup.
“Itu kena tanya Lembaga Jalanraya dan Pengangkutan Dubai atau RTA. Kau juga kena tahu yang bukan mudah untuk lulus ujian memandu kenderaan di sini. Kau kena ambil dalam minima 20 jam kelas latihan dan ramai yang kecundang buat kali pertama. Majoriti gagal sehingga ujian ketiga!”
Bertambah murung hati Mat Ju mendengar cerita Mat Jar yang sudah tiga tahun menjadi ekspatriat di Dubai. Bekerja sebagai jurutera komunikasi di sebuah syarikat multi-nasional. Sudah bertaraf otai dikalangan ramai ekspatriat baru dari Malaysia yang semakin bertambah ramai dengan peluang pekerjaan yang banyak. Pembangunan pesat Dubai terus pesat dan dengan 90 peratus tenaga kerja dari luar, rakyat Malaysia juga semakin ramai mencari rezeki dalam pelbagai bidang, terutama industri penerbangan, perhotelan dan pembinaan.
“Begitu susah mahu lulus?”
“Ya, susah sekali, aku pun kena ambil dua kali ujian. Kau tahu, ramai ekspatriat lain dari India, Pakistan, Filipina, Bangladesh, Afghanistan sampai berpuluh kali. Memang lebih susah dari ambil Phd! Bertuah kalau kau boleh lulus dengan sekali ambil ujian, boleh buat kenduri!”
Mat Ju terdiam mendengar borak serius Mat Jar yang seakan berjenaka. Sambil melihat ke arah ramai ekspatriat lain Malaysia yang hadir di majlis sambutan keputeraan ke bawah DYMM Yang Dipertuan Agung. Majlis anjuran pejabat konsulat bersama persatuan professional Malaysia di UAE, yang dikenali sebagai myUAE Pro sahaja.
“Malah, lesen memandu antarabangsa Malaysia pun sebenarnya tidak diterima di sini, sebab kita tiada perjanjian dua hala dengan UAE. Lesen antarabangsa yang kau bawa itu boleh dicampak dalam bakul sampah sahaja!”
Kata-kata Mat Jar itu seakan penutup besar yang terus menutup lubang dalam strategi Mat Ju untuk mencari cara lain bagi memudahkan urusan mendapatkan lesen memandu Dubai.
Mat Ju lemas sendiri memikirkan pelbagai perkara sebagai pendatang baru dalam suasana gamat di ruang foyer pejabat konsulat.

2) Ini sistem RTA Dubai, bukan sistem JPJ
“Buat masa ini kamu kena tunggu minima tiga bulan sebelum boleh menduduki ujian memandu. Senarai mereka yang menanti memang panjang walau musim panas!”
Mat Ju tekun mendengar penerangan staf yang duduk di meja pendaftaran sebuah sekolah latihan memandu. Staf berasal dari negara India itu menggeleng-geleng kepala sambil bercakap. Tidak tersenyum dan tidak nampak mesra pelanggan.
Mat Ju cuba memahami setiap patah perkataan yang keluar dari staf tersebut. Slanga bahasa Inggerisnya memang agak pekat dengan dialek Malayalam. Kena mendengar dengan sepenuh perhatian.
“Bila boleh mulakan latihan pula?”
Tanya Mat Ju sambil sesekali berpaling ke arah pengunjung kompleks membeli belah Mall of Emirates. Terutama setiap ada wanita-wanita gebu, genit dan seksi lalu-lalang. Masih dalam kejutan budaya dengan suasana kosmopolitan Dubai yang tidak langsung mengambarkan suasana dunia Arab. Seakan berada di Eropah atau Amerika.
Apalagi isteri dan anak-anak masih belum tiba dari Malaysia. Bujang senang dan masih mencari rumah sesuai untuk disewa. Masih juga sibuk bertanya warga ekspatriat Malaysia lain melalui yahoogroup malaysian-uae.
Banyak maklumat dan tips yang didapati. Terlalu banyak sehingga kadang-kadang mengelirukan pula. Apalagi dengan bajet dari elaun perumahan yang tidak begitu cukup berbanding dengan sewa rumah yang begitu mahal. Bantuan dan pertolongan dari komuniti ekspatriat Malaysia memang lebih dari ekspektasi. Sesuatu yang sinonim dengan budaya gotong-royong warga Malaysia.
“Kami akan telefon kamu dalam dua tiga hari ini!”
Staf tersebut seakan endah tidak endah menjawab. Mahu cepat sahaja kerana ramai juga yang beratur dibelakang Mat Ju untuk dilayani. Dengan sistem dan proses latihan dan ujian memandu diserahkan kepada sekolah-sekolah latihan memandu swasta, sememangnya menjadi satu bisnes yang cukup menguntungkan.
Melihat layanan yang sedikit kurang memberangsangkan, Mat Jar yang berdiri berhampiran terus mendekati Mat Ju dan staf tersebut. Dengan wajah serius sekali.
“Hello, bila dia akan mula latihan?” Mat Jar bertanya garang.
“Kami akan telefon dalam dua tiga hari!” Ulang staf yang tidak pun memandang ke arah Mat Jar. Sambil tangan memegang henfon dan mata ke arah layar komputer. Terdengar musik dari henfonnya.
Menyirap terus darah Mat Jar melihat biadabnya staf yang rambutnya ala Shahrukhan.
“Hello, minta maaf, kami ini pelanggan dan telah membayar yuran latihan memandu seperti yang diminta. Yuran bukan murah. Kenapa tidak boleh beritahu terus jadual, supaya senang dia membuat perancangan! Bukankah kamu ada sistem, apa komputer depan muka hensem kamu itu hanya untuk chit-chat dan melayar Internet sahaja kah?”
Staf tersebut terperanjat dengan reaksi tiba-tiba Mat Jar yang sudah kuat bersuara. Menampakkan kegeraman. Mata Mat Jar memandang dengan tajam. Beberapa orang yang beratur sama terperanjat.
“Hello, kami dari Malaysia tahu dan kami ada lesen memandu dari UK dan USA, sudah berpuluh tahun memandu kereta serata dunia, kamu jangan ingat kami macam kawan-kawan kampung kamu kah!”
Terkejut juga Mat Ju melihat Mat Jar melatah. Suara berintonasi sombong. Emosional di tengah khalayak yang memerhati. Bukan tenang seperti biasa.
“Dia orang ini memang tidak boleh kasi muka. Kita kena tunjuk yang kita bukan dari negara dunia ketiga macam dia orang. Kita dari Malaysia, salah sebuah negara Islam yang maju dan kita bukan taraf buruh, kita semua profesional yang ada ijazah!”
Mat Jar bercakap dalam bahasa Melayu sambil staf tersebut cepat-cepat mengetuk paparan kekunci. Nampak pengalaman Mat Jar dalam menangani karenah staf kaunter yang begitu buruk, sesuatu yang cepat dipelajari oleh Mat Ju dalam kehidupan baru di Dubai.

3) Ini BMW, bukan Proton
“Murah benar kereta di sini, geram sungguh. Tidak sabar mahu membeli!”
Mat Jar memang cukup suka menatap lampiran iklan kereta terpakai dalam akhbar. Hatinya cukup geram memikirkan yang sekolah memandu masih belum menelefon walau setiap kali dihubungi akan berjanji untuk menetapkan tarikh latihan pertama.
“Jangan fikir lagi. Kalau sudah suka kau beli sahaja!” Saran Mat Ju pendek.
Sekali lagi Mat Jar terkejut. Dia ternampak iklan kereta Proton Wira terpakai. Lebih murah dari harga Kancil. Malah kereta Honda, Toyota, Nissan juga lebih murah dari kereta Proton. Sesuatu yang menyebabkan dia jadi lebih teruja.
“Tetapi lesen memandu belum dapat!”
“Tidak perlu tunggu lesen memandu, kau boleh beli kereta, cuma kau tidak boleh memandu di jalanraya!”
“Betulkah begitu?”
Mat Jar mengangguk-angguk.
“Kalau begitu, boleh kau bawa aku ke kompleks kereta terpakai hujung minggu ini?
“Tentu sahaja. Kita pergi selepas main bola Jumaat petang, aku boleh bawa kau ke sana kerana aku pun mahu jual kereta lama itu!”
Mat Ju terasa cukup gembira. Terlupa seketika kemarahan meluap terhadap sekolah memandu dan sistem ujian memandu di Dubai.
Mendengar maklumat terkini dari Mat Jar yang menceriakan, mata Mat Ju terus terpaku pada kereta sport BMW yang sudah lama diidami. Harganya separuh dari harga jualan di Malaysia. Dan dia tidak perlu AP untuk membelinya.

4) Ini Polis Dubai, Bukan PDRM
“Kau boleh tolong aku?”
Suara Mat Ju agak gementar. Percakapan dengan Mat Jar pun agak kelam-kabut. Dia panik sekali dalam suasana sebegini. Sehingga ayat juga tidak tersusun dan tunggang terbalik.
“OK, jangan risau, aku datang sekarang ke situ!” Jawab Mat Jar di telefon. Lega Mat Ju dalam kepanasan tengahari di kawasan perumahan Mirdiff. Memang Mat Jar tidak akan menghampakan permintaan kecemasan dari seorang sahabat satu negeri. Sahabat akrab semenjak menjadi geng bujang di Dubai. Mat Jar memang masih bujang manakala Mat Ju masih belum membawa keluarga.
“Jangan panggil Polis dulu, sekejap lagi kawan saya datang!” Mat Ju memujuk lelaki Filipino yang memeriksa dengan teliti kesan geselan di keretanya. Calaran yang tidak begitu teruk tetapi agak dalam dari sebelah tepi pintu pemandu. Kereta sport Mat Ju pula tidak mengalami apa-apa kerosakan. Kereta mahal katakan berbanding dengan kereta Korea yang digeselnya.
“Saya perlu tuntut insuran untuk memperbaiki kerosakan ini, jadi kena ada lapuran pihak Polis!” Lelaki Filipino bernama Alex itu berkata perlahan. Seakan memahami gelora dan kerisauan dari wajah Mat Jar.
“Saya faham keperluan itu, tetapi saya tiada lesen memandu tempatan, yang ada lesen memandu antarabangsa!”
“Lesen Malaysia tidak boleh ditukar ke lesen Dubai kah?” Tanya Alex yang nampak begitu ramah. Mat Jar menggeleng. Isu yang sudah tidak perlu diperkatakan kerana memang tidak akan menyelesaikan masalahnya sekarang.
Alex tersenyum melihat wajah Mat Jar yang panik. Pada mulanya Alex menyangkan Mat Jar sama-sama datang dari kepulauan Filipina. Menegur dalam bahasa Tagalog. Memang kebanyakan warga Filipina ramah dan mesra. Cepat menegur kalau disangka sesiapa adalah sama warga Filipina.
“Jangan risau, saya faham dan kita tunggu kawan kamu datang, lagipun kerosakan ini kecil sahaja dan bukan kesalahan kamu. Kamu hanya mahu mengelak kereta pacuan empat roda yang tiba-tiba mencelah....biadap sungguh!”
Sejuk Mat Jar mendengar kata-kata dari Alex. Kalau kereta yang di langgarnya kepunyaan warga Emirati atau ekspatriat lain, sudah tentu ada pertengkaran. Boleh bawa bergaduh. Tetapi apa pun dia memang bersalah kerana memandu tanpa lesen sah Dubai.
Kereta pacuan empat roda mewah yang cuba dielakkan itu mungkin dipandu oleh seorang pemuda belasan tahun Emirati dan terus lesap ke arah lebuhraya Emiriyah. Tidak sempat mengambil nombor pendaftaran. Kalau sempat pun mungkin tiada gunanya juga sebab mereka kadang-kala mengatasi undang-undang tempatan.
Peluh jantan yang menitik seluruh tubuh Mat Jar bukan sahaja kerana kepanasan musim panas, malah kepanasan dari bayangan yang menghantui. Fikirannya tidak henti membayangkan kalau dia disaman polis. Bukan sahaja jumlah saman untuk dibayar tetapi dia juga boleh ditahan dalam lokap kerana memandu tanpa lesen Dubai. Satu kesalahan besar.
Lebih dari itu dia baru mendapat rumah sewa dan baru selesai melihat rumah di kawasan berhampiran tempat kemalangan. Keluarganya akan sampai dua tiga hari lagi dan malam itu dia akan bersama-sama untuk makan malam dengan anak-anak Kelantan di sebuah vila di perumahan ekslusif Arabian Ranches. Sudah lama tidak merasa nasi kerabu dan kueh lobak tikam. Sudah lama juga tidak berborak ramai-ramai dalam loghat Kelantan.
Melihat kereta yang perlahan untuk melihat apa yang terjadi, Mat Jar kembali terasa panik. Terfikir kalau dia masuk lokap, boleh sahaja dia dibuang kerja. Dia baru dua bulan bekerja di Dubai. Baru mendapat visa permastautin. Belum lagi menduduki ujian memandu. Belum juga mandi hadas di Dubai.
Masuk lokap bukan satu pilihan terbaik. Bayangan lokap dan banduan terus menambahkan kelajuan degupan jantung. Bersama peluh jantan tidak henti membasahi seluruh tubuh yang nampak semakin gempal sejak mengenal nasi beriyani kambing.
Lebih panik membayangkan kalau tiba-tiba polis singgah sebelum Mat Jar tiba!

5) Ini Cerita Benar, Bukan Fiksyen
“Rilekslah. Nampak kau risau sahaja untuk ambil ujian memandu, kenapa?’
Mat Jar bertanya sambil menghirup teh tarik di restoran makanan yang terletak di kawasan membeli-belah Naif. Isteri dan anak-anak Mat Ju masih sakan membeli-belah dengan pelbagai jualan hebat sempena Festival Musim Panas Dubai. Potongan harga dan tawaran cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menambahkan kemeriahan.
Naif terus sibuk dan gamat dengan pengunjung walau cuaca hampir melebihi 40 darjah celcius. Pelancung dan orang tempatan bercampur-baur. Semuanya seronok menabur wang.
“Kalau gagal kali pertama pun tidak mengapa, ambil lagi. Biasalah kalau gagal kali pertama di Dubai. Majoriti seperti itu dengan sistem kuota dan untung rugi bisnes pelesenan!”
Sambung Mat Jar sambil membelek kamera digital canggih yang baru dibelinya. Dia sama-sama menyertai kelab fotografi ekspatriat Malaysia dan aktif mengambil foto lanskap Dubai.
“Sebenarnya aku ada cerita benar mengenai lesen memandu yang kini menghantui aku di Dubai! Isteri aku sendiri pun tidak tahu mengenainya!” Perlahan Mat Ju bercakap, seakan tidak mahu orang lain mendengar. Walaupun mereka yang lain tidak memahami Bahasa Melayu yang dipertuturkan mereka berdua.
Mat Jar menoleh ke arah Mat Ju yang masih memegang akhbar dengan tajuk utama mengenai statistik kemalangan jalanraya yang semakin meruncing di Dubai. Fenomena yang membimbangkan pihak berkuasa kerana majoriti yang kehilangan nyawa dari kemalangan jalanraya adalah orang Emirati walau mereka hanya minoriti di negara sendiri.
Mat Ju menarik nafas sedalam-dalamnya. Kemudian melepaskannya dengan penuh perasaan.
“Aku memang takut untuk buat ujian memandu sebab.....!”
Sekali lagi Mat Jar rasa suspen apabila Mat Ju terhenti. Seperti babak anti-klimaks dalam suasana yang janggal dalam sebuah drama TV.
“ Sebab lesen memandu Malaysia yang aku ada pun sebenarnya, lesen terbang!”

Wednesday, April 30, 2008

Bagus Punya Rawa

1) Hotel Jutaan Bintang
“Inilah hotel tujuh bintang!” Marwan Al Baduii memecah suasana dalam menghirup udara Rub-Al-Khali, ruang kosong seluas 650,000 km persegi yang merangkai Saudi Arabia, Yemen, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Oman.
“Bukan, inilah hotel jutaan bintang!” Sahut Ben yang masih memandang jauh ke angkasa. Kegelapan malam yang mendamba jiwa sentimental. Ben melagukan irama, ‘Ku Petik Bintang-Bintang’. Tiba-tiba menjadi lagu penata. Sayup merentas ruang. Seakan dalam sebuah babak ‘Star Wars’.
“Kami memanggilnya tabiri. Tempat tanpa jalan, tanpa bangunan dan tanpa manusia! Kosong sekosongnya menjalar ke angkasa, ke bintang-bintang!” Marwan berkata perlahan.
Kami tidak pasti di mana lokasi sebenar di saujana padang pasir sebaik tiba dari Lapangan Terbang Abu Dhabi. Sebenarnya masih keletihan bukan sahaja perjalanan tiga jam tanpa jalanraya bertar yang kekadang menggerikan, malah keletihan dari penerbangan tujuh jam dari London sebelumnya.
Kemah ringkas untuk kami bertiga sudah disediakan Marwan. Angin seakan mati dalam suhu dan humiditi yang sedikit turun. Fana sekali dalam dihinggap kesegaran. Teringat kembara Wilfred Thesiger sekitar tahun 1945 dan 1950. Mungkin tiada banyak perubahan. Tentunya tiada sesiapa yang tinggal dan berkampung di Rub-Al-Khali, walau kini satelit perisik Amerika akan tetap mengawasi setiap pergerakan.
Sememangnya terasa kelainan berada dalam ruang kosong. Tiada gemerlapan neon-neon, deruan kenderaan, pokok-pokok, bau kemodenan, keriuhan manusia yang terus mengejar waktu dan warna-warna superfisial kota kosmopolitan.
Kosong yang indah.
Bukan mudah untuk sesekali melarikan diri dari London, Kuala Lumpur, Paris dan San Francisco. Walau selalu transit di Abu Dhabi dan Dubai, inilah kali pertama untuk keluar menjadi Arab Badui. Tanpa Internet, tanpa blogsfera, tanpa Blackberry, tanpa TV satelit, tanpa akhbar dan tanpa politik. Yang ada hanyalah waktu, waktu untuk mengimbas dan bernafas sebagai manusia kerdil di ruang kosong.
Seperti kata Marwan dia selalu ke Rub-Al-Khali untuk berehat, tidur dan memburu, kekadang berminggu tanpa gangguan. Kembali menjadi penggembala kabilah Badui seperti nenek moyang. Satu eskapisme yang amat diperlukan.
Tetapi Marwan mampu berbuat demikian sebagai jutawan muda awal tiga puluhan. Anak muda Emirati yang lahir dengan dulang emas. Manakala saya masih dalam pencarian untuk masa depan, masa depan yang masih jauh dari genggaman dan terus jauh dari realiti. Masih belum cukup dana untuk menjadi seperti Marwan yang mempunyai banyak masa untuk bersantai. Duit bekerja untuknya setiap saat, saya pula masih bekerja untuk duit. Masih hamba pada tarikan materialisme dan kedudukan. Masih bergayut pada dunia yang semakin diancam pemanasan global. Dengan pelbagai krisis dan sengketa.
Saya mengenal Marwan melalui Ben, seorang sahabat perjuangan parti yang kami dukung. Dia juga jutawan muda sebagai broker dan penganalisa kewangan. Kedua mereka sama menuntut di Cambridge. Sama masih belum berkahwin. Sama mempunyai idealisme mengenai kehidupan. Sama gah dengan nasionalisme.
Duit bukan segalanya bagi mereka. Mudah bagi mereka yang sudah memiliki segalanya, kecuali ketika ini masih belum beristeri dan berkeluarga sendiri. Masih bebas untuk bergerak.
Malam terus memanjang dengan kekosongan dan kesunyian. Dengan beralaskan tikar dan sebiji bantal, fikiran pada isteri. Yang mungkin sedang sibuk membeli belah di Oxford Street. Hobi masa lapang.
“Sesiapa masih belum tidur?” Tiba-tiba Marwan menyapa dari kemahnya di tengah-tengah.
“Belum!” Sahut Ben.
“Juga belum!” Saya menyambung. Memang agak sukar untuk tidur apabila berubah tempat.
“Jom naik unta ke destinasi tanpa haluan!”

2) Bukit-Bukau Pasir Memukau
Kami terus tidur selepas subuh. Badan memang keletihan apalagi menunggang unta di pagi buta dalam kesamaran. Menyeronokkan. Sebaik bangun, matahari sudah terik. Bukit-bukau pasir memancar fatamorgana. Seakan lautan pasir yang berombak. Warna-warni pasir beralun. Memukau imaginasi. Lukisan yang tidak ternilai harganya. Indahnya ciptaan Allah.
Ben dan Marwan sudah lama bangun rupanya.
“Apa kalian tidak bimbang sebagai minoriti di tanahair sendiri? Dalam keadaan sekarang, pembangunan mungkin memberi kesan buruk dalam jangka panjang untuk mempertahankan ketuanan! Apalagi dengan inisiatif mega untuk projek pelancungan, sama ada pelancungan-eko atau komersil yang boleh menenggelamkan budaya Badui sendiri. Padang pasir ini juga akan jadi taman tema mega seperti Disneyland atau Dubailand yang sedang dibangunkan itu, tiada lagi warisan untuk dipertahankan selain berbentuk kosmetik untuk pelancungan!”
Terdengar Ben melemparkan hujah. Beberapa rakan Marwan sudah tiba mengelilingi beliau yang memang cukup petah berpidato. Nampak kekaguman. Tentunya Ben menyambung diskusi di atas unta semalam mengenai ketuanan Emirati yang hanya 20 peratus dari penduduk UAE.
Ben begitu kuat dengan nasionalisme dan patriotisme. Ben bukan sahaja berbadan besar tetapi ada karisma dan aura sebagai pemimpin besar. Boleh bercakap dalam banyak bahasa utama, termasuk sedikit Arab. Otaknya cukup geliga sehingga bertaraf antara graduan yang terbaik pernah dihasilkan Cambridge, setaraf dengan aruah Tun Razak yang juga dari MCKK.
“Dalam budaya Badui, selalunya akan ada penyelesaian. Kami sentiasa cuba mengelakkan persengketaan. Umpamanya kalau ada kawan yang bercakap sesuatu yang saya tidak suka, saya akan cuba mengelak untuk jadi marah. Kalau ada kesilapan apa-apa, kami akan berusaha menyelesaikan masalah bersama. Kami cukup memahami yang padang pasir seperti ini lebih baik dari rumah besar berharga jutaan. Kami datang untuk buat unggun api, bersantai sambil minum teh dan kopi serta berkemah dengan kawan-kawan. Biarpun bandar di sana semakin membesar dan moden, kami adalah sebahagian dari padang pasir dan tidak boleh hidup tanpanya!”
Saya memandang ke arah anak muda Arab yang berseluar pendek dan berbaju-T dengan gambar Osama bin Laden. Lain sekali Marwan tanpa jubah putih. Tidak sekacak berjubah.
Kelihatan dari kawasan berdekatan, beberapa kemah baru diantara kenderaan pacuan empat roda yang baru tiba. Sekumpulan dari mereka turun membuat bulatan dengan spontan juga membuat muzik dan menari tradisional.
Visual secara langsung itu mendekatkan pada catatan Wilfred Thesiger dalam buku ‘Arabian Sands’. Walau Wilfred begitu sensitif dengan budaya dan lanskap Badui, ternyata dia membuat tanggapan salah mengenai karektor dan masa depan kaum Badui. Malah dalam tulisan berikutnya, Wilfred mengatakan buku tersebut sebagai memorial kehidupan silam dan kegemilangan kaum Badui di muka bumi.
Mungkin ada benarnya keluhan Wilfred mengenai nasib bangsa ‘angkat’nya itu. Padang pasir sudah bertukar menjadi emas dengan harga hartanah yang terus meningkat di UAE. Badui sudah menghuni banglo dan apartment mewah. Berkenderaan mewah, bukan lagi unta. Tidak lagi bergerak dari satu wadi ke wadi lain mencari makanan. Kini bergerak dari satu kota ke kota dunia lain untuk membuat pelaburan hartanah.
Menyedarkan saya kepada beberapa persoalan mengenai nasib untung bangsa sendiri di era globalisasi. Lantas teringat anak-anak sendiri, lahir di merata negara yang tidak pernah membesar di tanah kelahiran ayah dan ibunya. Menjadi imigran, ekspatriat dan perantau. Mereka tentunya tidak mempunyai ikatan apa-apa mengenai patriotisme. Atau mungkin saya yang tersilap, seperti Wilfred dalam meramalkan masa depan Badui?
Mungkin mereka lebih patriotik dengan sentimen nasionalisme, kalau tidak agama yang lebih kukuh. Dunia siber yang terbuka yang menjadi nadi kehidupan ada kalanya menjadikan manusia lebih bersikap kedaerahan untuk menonjolkan identiti sendiri disebalik nama samaran.
Tiba-tiba Marwan menepuk bahu. Menghentikan lamunan yang merentas benua dan maya.
“Pergi sarapan, hari ini kita konvoi dengan SUV ke wadi di selatan, bukan lagi naik unta liar macam semalam!”

3) Banglo Kristal
Di ruang ‘majlis’ atau bilik tetamu yang terbuka, kelihatan ramai orang Badui bersantai atas kusyen sambil berkongsi juadah serta saling menyapa secara tradisional sesama sendiri. Agak meriah suasana dan hingar bingar dengan perbualan. Nampak kemesraan pada warga kota yang kembali ke padang pasir sebagai orang Badui asal.
Seperti Ben, saya cukup terkasima dan teruja. Terbayang imej Putera Walid, lelaki Arab terkaya yang banyak menghabiskan masa di padang pasir untuk membuat urusan bisnes dalam suasana tradisional.
Kelihatan antara mereka, seorang lelaki muda di apungkan ke udara.
“Itu Ahmad, yang untanya menang, unta tercantik seluruh negara Teluk tahun ini!”
“Diakah yang dapat hadiah empat juta Dirham itu dari Sheikh Dubai?” Tanya Ben. Marwan mengangguk.
“Empat juta dirham bagi dia macam empat ribu sahaja, dia baru beli nombor plet kereta 11 yang berharga lima belas juta dirham. Malah dia mahu membina banglo kristal di sini, bukan untuk tinggal tetapi sebagai destinasi pelancungan Rub-Al-Khali!”
Ben berpaling pada saya. Saya tersenyum memahami ucapan mata Ben. Kemewahan dan pembaziran. Bumi arabia yang kaya dengan minyak melimpahkan rahmat kepada umat Nabi Muhammad SAW. Padang pasir yang kontang bertukar menjadi kehijauan dan kota-kota yang kini kaum Badui berlumba-lumba membina pencakar langit. Akhir zaman sudah terlalu dekat. Bukan sahaja kerana pemanasan global yang mengubah ekologi alam, tetapi manusia Badui mengubah lanskap padang pasir dengan pencakar langit.
“Jangan terkejut, disebalik semua kebendaan itu, dia masih kerja untuk hidup dan untuk unta. Masih sahaja seorang Badui, dulu, kini dan selamanya!”
Marwan seakan tahu apa yang kami fikirkan, mungkin dari perbualan sepanjang konvoi terutama mengenai bangsa Emirati, tidak kira dari puak Badui atau lainnya sebenarnya dalam satu persimpangan. Pilihan dengan jalan terbuka luas. Ada papan-papan tanda dan peringatan di mana-mana. Tetapi segalanya boleh menyesatkan dan tidak pasti selamat tiba di destinasi, walau apapun destinasi dalam destini mereka. Seperti juga Melayu di tanahair sendiri. Terus dipersimpangan sejak 50 tahun lalu.
“Jangan juga terkejut yang kami masih berbangga untuk meneruskan tradisi seperti kata aruah Sheikh Zayed, seseorang yang tidak mempunyai masa silam tidak mempunyai yang semasa dan tiada masa depan. Dengan sokongan kuat keluarga diraja, kami meneruskan permainan tradisi sehingga hari ini dan penyertaan tidak pernah berkurang. Terutama permainan masa lapang kami seperti bermain dengan burung helang, tarian dan memancing!”
Bau dari juadah memang menyelerakan. Kambing panggang menerkam nafsu. Kelaparan di tengah padang pasir yang mewah sama menyambar imej-imej manusia lapar dalam krisis makanan dunia. Bersyukur dengan apa yang ada.
Kelihatan juga wanita dalam abaya dan purdah hitam di satu kawasan lain. Mereka kelihatan gembira dalam suasana meriah. Berposing dengan kamera video dan anak-anak kecil menari sambil menghuraikan rambut.
Saya segera bertanya kepada Marwan yang mendail Blackberrynya. Sesuatu yang menjadi objektif utama kami menjadi Badui di Rub-Al-Khali. Sesuatu yang juga saya nantikan dalam perasaan ingin tahu.
“Mana adik perempuan kamu yang mahu dikenalkan pada Ben?”

4) Perlembagaan
“Banyak sumbangan bangsa Arab dalam tamadun manusia!” Saya cuba membawa topik dalam perbualan yang sedikit janggal. Keluarga Marwan memang nampak tahap keintelektualan dan pengetahuan. Ayahnya, Abdullah begitu pendiam dan sentiasa bertasbih. Bekas pegawai tinggi kerajaan yang mempunyai empayar bisnes besar di tanah arabia.
Sementara dua abangnya dari ibu yang sama terus kesibukan dengan telefon Blackberry. Mereka mengambil alih sebahagian dari perniagaan dan dalam proses penyeneraian salah satu anak syarikat keluarga di Bursa Dubai.
“Bukan Arab, tetapi sumbangan Islam!” Jawab Marwan sinis. “Ada beza antara Arab dan Islam. Arab tidak semestinya Islam dan Islam itu bukan sekali Arab!”
Ben tersenyum sebelum mencelah. “Di Malaysia, tersebut dalam perlembagaan, Melayu itu semestinya orang Islam!”
Abdullah berpaling. Keheranan.
“Itulah uniknya bangsa Melayu di Malaysia!” Jawab saya. “Melayu itu pula sebenarnya ada pelbagai suku, puak dan negeri juga. Ada teori mengatakan Melayu itu berasal dari negara China. Tetapi apabila disebut Melayu pada zaman moden ini, bermakna orang Islam!”
Abdullah mengangguk-angguk. Bahasa Inggerisnya tidak sebaik anak-anaknya. Bercakap sesuatu dalam bahasa Arab kepada Marwan.
“Bapa saya bertanya, kalian bangsa Melayu dari suku apa?”
Pertanyaan itu bagai pucuk di cita, ulam mendatang, Satu perkara yang menjadi topik kegemaran. Satu perkara yang sentiasa cuba dielakkan oleh Ben dari berbahas. Bagi Ben dalam dunia moden itu, definisi bangsa Melayu sudah sepatutnya tidak lagi berpecah kepada sukuan. Hanya Melayu seperti dalam perlembagaan. Terutama buat mereka yang lahir setelah merdeka.
Mungkin ada rahsia yang Ben tidak mahu saya ketahui mengenai latar belakang sukuan keluarganya. Dia menggunakan nama Ben sejak pihak sekolah asramanya di London tersalah menulis ‘Bin’ sebagai ‘Ben’ sahaja sebagai nama keluarga. Lagipun, waktu itu sangat teruja untuk menjadi orang putih, walau nama Ben berbaur Yahudi.
Nasionalismenya berkisar pada Melayu yang sejarah bermula dari kemerdekaan negara. Alasannya, apa yang berlaku sebelum itu tidak boleh diubah dan hanya generasi hari ini yang mampu dan boleh mengubah status ketuanan Melayu. Bagi saya hanya satu mitos untuk survival politik. Sesuatu yang membedakan kami. Tetapi perbedaan bukan permusuhan. Kematangan mengatasi emosional dan prasangka.
“Bapa saya suku Bugis dari Sulawesi, nenek moyang berhijrah ke negeri Pahang di Tanah Melayu ratusan tahun dahulu. Manakala nenek moyang sebelah ibu berhijrah dari negara China. Tetapi hari ini saya adalah Melayu!” Saya segera menjawab.
Memandang ke arah Ben yang kelihatan serba salah. Kali ini Ben nampak terperangkap.
Tanpa berpaling kepada saya, Ben bercakap dalam bahasa Arab perlahan-lahan. Dia tidak mahu saya memahaminya.
Tetapi saya cuba juga memahami. Terkial-kial. Hanya dapat menangkap beberapa patah perkataan. Itupun sekadar meneka dalam kesamaran perbendaharaan kata Arab yang terhad.

6) Bahasa Jiwa Bangsa
“Kami akan tetap berjubah dan berserban sebagai identiti nasional. Supaya tidak nanti hanya dikenali dari patung-patung atau model orang Badui buatan negara China yang dijual untuk pelancung!” Marwan ketawa besar. “Malah sudah ada bekas lada hitam dan garam dalam bentuk sheikh dan sheikha!”
Perubahan lanskap dari padang pasir ke gemerlapan neon begitu ketara. Kembali ke peradaban. Kembali menjadi pemburu waktu yang tidak pernah cukup.
Perjalanan menghala ke lapangan terbang Abu Dhabi masih dipenuhi dengan isu ketuanan dan masa depan suku Badui dan Melayu. Dua puluh empat jam di bumi semenanjung Arab seakan melontar diri ke gaung dilema yang luas. Dilema seorang Melayu dalam globalisasi.
“Ada lapuran mengatakan ramai Arab sudah tidak berbangga dengan bahasa sendiri, lebih selesa dengan bahasa Inggeris, terutama menulis secara SMS! Ini menakutkan kerana bahasa Quran itu bahasa Arab, kalau Arab sendiri tidak mahu berbahasa Arab, maknanya ada yang tidak kena!” Ben memberi komen sambil menulis emel di Blackberrynya. Kembali kesibukan sebaik Blackberry ‘hidup’ semula.
Saya tergelak besar mendengar cetusan Ben. Tidak sia-sia kembara di Rub-Al-Khali, Ben mengaku berkenan dengan adik Marwan, Aminah, graduan MBA dari London School of Economics. Tidak pasti di pihak Aminah yang nampak biasa sahaja. Mungkin Ben bertepuk sebelah tangan dalam cinta pertama. Cinta antara benua. Antara dua kabilah Islam.
Ada perkara yang lebih melucukan. Masih teringat Ben cuba mengelakkan dari bercakap mengenai asal usul keluarganya. Sehingga Marwan yang memberitahu butiran perbualan mereka semalam. Percakapan yang merungkai rahsia Ben yang selama ini menjadi misteri.
Ben berpaling dan saya segera menyemburkan apa yang tersimpan. Sesuatu yang memuaskan hati kerana identiti Ben, lelaki Melayu tulen terakhir itu telah terbongkar di Rub-Al-Khali.
“Cis! Bagus punya Rawa!”